Jumaat, 1 Januari 2016 | 9:15pm

Kanak-kanak maut ketika dalam jagaan pengasuh

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan meninggal dunia dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuh dalam satu kejadian, di sini, petang semalam.

Mangsa dibawa pengasuhnya yang berusia 26 tahun ke klinik untuk mendapatkan rawatan sejurus mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB), pada jam 6 petang.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan yang melakukan pemeriksaan sejurus tiba di hospital berkenaan.

Difahamkan, mangsa adalah anak kedua daripada tiga beradik itu baru dua bulan dalam jagaan pengasuh terbabit. Sebelum ini, mangsa dijaga pengasuh lain di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Roji Jidin, berkata pemeriksaan terhadap anggota badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan lebam pada dahi kanan dan kiri, bibir serta belakang pinggang, selain benjol pada bahagian kanan kepala serta perutnya didapati kembung.

"Berdasarkan siasatan awal, pengasuh memberitahu ada memaklumkan kepada ibu mangsa yang anaknya terjatuh sebelum cuti Hari Krismas lalu menyebabkan lebam pada belakang badan.

"Pun begitu, ibu mangsa tidak pasti mengenai kecederaan pada dahi dan kepala anaknya kerana mendakwa tiada kecederaan pada bahagian itu ketika anaknya dihantar kepada pengasuh pada pagi kejadian.

"Tetapi, memberitahu pengasuh ada memaklumkan kanak-kanak itu terjatuh," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Roji berkata, bedah siasat ke atas mangsa di HSB pagi tadi mendedahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) ( a) Akta Kanak-kanak 2001.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X