Sabtu, 2 Januari 2016 | 9:30am

Polis tahan dua pencuri kasut

 

SUBANG JAYA: Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian kasut di depan rumah dengan penahanan dua lelaki di Jalan Mutiara 2, Taman Mutiara Subang Jaya, awal pagi tadi.

Suspek berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh anggota polis dari Balai Polis Pinggiran Subang Jaya yang sedang melakukan tugas rondaan di kawasan Batu 3, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata anggota polis peronda yang curiga melihat kelibat kedua-dua suspek, menahan kedua-duanya sebelum membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati satu daripada empat beg yang mereka bawa mengandungi lima pasang kasut pelbagai jenama yang dipercayai dicuri dari sebuah rumah penduduk di situ.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut berkenaan. Polis kemudian berjumpa dengan pemilik rumah bagi mengenal pasti kasut miliknya yang dicuri itu," katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Katanya, antara kasut yang dicuri adalah dua pasang kasut Adidas dan masing-masing sepasang kasut jenama Borse Mogan, Snowfly serta but keselamatan jenis Astra. Semuanya kasut itu dianggarkan bernilai RM1,200.

Katanya, menerusi tangkapan itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian kasut di kawasan perumahan walaupun kebanyakan kes tidak dilaporkan kepada polis.

"Mungkin mangsa menganggap mereka hanya mengalami kerugian kecil, namun perkara ini harus dibendung.

"Polis akan terus menjalankan rondaan dan pada masa sama, sentiasa berhubung dengan penduduk agar mereka memaklumkan apa juga kejadian jenayah yang berlaku sama ada kecil atau besar," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X