Sabtu, 2 Januari 2016 | 10:28am
KEMALANGAN yang melibatkna sebuah bas merempuh lori tangki di Tapah. - Foto Ihsan Pembaca

2 parah 3 cedera, bas rempuh lori tangki

TAPAH: Dua penumpang bas parah manakala tiga lagi cedera selepas bas yang mereka naiki dipercayai gagal memotong sebuah lori lalu merempuh belakang kenderaan berat berkenaan di Kilometer 313.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam itu jam 4.20 pagi, Ong Yong Lien, 31, dan Mohd Sharipudin Shariff, 48, masing-masing cedera parah di kepala dan patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Tapah bersama tiga lagi yang cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata kemalangan membabitkan sebuah bas membawa 10 orang penumpang yang merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki.

"Siasatan awal mendapati bas yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Kuala Lumpur sedang menuruni bukit dan mahu memotong lori berkenaan yang berada di lorong kiri tetapi tidak berjaya lalu merempuh belakang sebelah kanan lori itu.

"Akibat dari rempuhan itu, dua penumpang cedera parah manakala tiga lagi termasuk pemandu bas cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tapah. Enam lagi penumpang yang tidak cedera meneruskan perjalanan dengan bas lain," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X