Sabtu, 2 Januari 2016 | 12:23pm

Kontroversi 100m, Badrul Hisham akui kecewa


Badrul Hisham Abd Manap

KOTA TINGGI: Pelari pecut muda negara, Badrul Hisham Abd Manap menganggap 'kontroversi' mengenai status rekod kebangsaan 100 meter yang masih menjadi tanda tanya bukan satu penghalang untuknya terus mencatat kejayaan.

Katanya, dia mengakui ketika mendapat berita berkenaan, perasaannya sedikit kecewa dan sedih, bagaimanapun hasil dorongan jurulatih dan rakan sedikit sebanyak menghilangkan peristiwa 'pahit' itu.

"Saya kecewa dan sedih kerana ia (pencapaian pecah rekod kebangsaan) adalah sejarah dan kenangan manis dalam hidup saya sepanjang menceburi sukan olahraga sejak darjah lima.

"Jurulatih juga menasihatkan saya untuk tidak terlampau memikirkan soal ini dan mungkin bukan rezeki saya. Namun tahun 2016 saya akan buktikan dan buat lebih baik daripada catatan 10.29 saat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pendaftaran sesi persekolahan 2016 di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di sini, hari ini.

Badrul Hisham yang berusia 19 tahun dan kini pelajar semester dua Diploma Sains Sukan di SSTMI komited memecahkan dua rekod pada tahun ini iaitu 100 meter dan 200 meter.

"Sasaran saya juga adalah ke Olimpik Rio 2016, namun jika tidak berkesempatan pada kejohanan Olimpik seterusnya di Tokyo pada tahun 2020. Saya akan terus berlatih dan tidak akan putus asa," katanya.

Sementara itu, jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, berkata beliau membatalkan penyertaan dalam satu kejohanan luar di Qatar pertengahan Februari ini berikutan keadaan mental Badrul Hisham yang tidak bersedia.

"Ketika mendapat berita itu, saya terus berjumpa Badrul dan nasihatkan dia untuk tidak terlampau memikirkan perkara berkenaan dan membiarkan kepada pihak atasan berkaitan menguruskannya," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan pencapaian Badrul Hisham yang memecah rekod kebangsaan 100 meter mungkin dianggap tidak sah berikutan penganjuran Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Yang Dipertua Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BAA), Awang Kifli Jaafar meminta Malaysia membuat aduan rasmi mengenai dakwaan kejohanan itu pada November lalu yang tidak mengikut peraturan persekutuan berkenaan.

Beberapa pihak mendakwa Brunei tidak mengikut spesifikasi ditetapkan IAAF ketika menganjurkan Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah ASEAN, antaranya mengenai alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50m selain bukti gambar garisan penamat.

Berita Harian X