Ahad, 3 Januari 2016 | 12:06am

Siapa sebenarnya memandulkan sastera?


PENGKRITIK sastera Malaysia, Mohd Affandi Hassan bersama sebahagian hasil karyanya.

SAYA memulakan tulisan saya dengan suatu persoalan: Siapa yang sebenarnya memandulkan sastera? Persoalan ini sangat penting kerana pelik untuk kita mengatakan kepada mana-mana golongan penulis bahawa mereka punca kemandulan dunia sastera sedangkan tuduhan itu memerlukan pembuktian kukuh.

Dengan menjadikan 'karya yang cetek dari segi keintelektualan' sebagai kayu ukur kepada kemandulan sastera yang ditujukan pula kepada penulis muda, maka banyak perkara wajar diperhatikan.

Antaranya ialah bagaimana karya intelektual itu diukur? Apakah ketiadaan khutbah, tidak memetik nama atau tulisan tokoh besar, maka karya itu dikatakan tidak intelektual?

Berdasarkan permulaan itu, secara jelasnya tulisan ini ialah reaksi terhadap tulisan Mohd Azam Hasnizam Mohd Razali yang disiarkan di BHPlus pada minggu lalu lalu dengan tajuk Penulis Muda Mandulkan Sastera.

Secara kasarnya, tulisan itu membicarakan tentang gagasan Persuratan Baru yang digagaskan oleh pengkritik sastera Malaysia, Mohd Affandi Hassan.

Justeru, hal yang dibangkitkan ialah pengkelasan karya persuratan dan karya sastera serta bagaimana lemahnya kepengarangan penulis muda masa kini yang dikira tidak memartabatkan nilai ilmu dalam karya sastera mereka.

Persoalan itu sudah dipolemikkan oleh Mohd Affandi sejak penghujung 1980-an lagi dan dikembangkan dengan lebih sistematik dalam buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu dan Gagasan Persuratan Baru.

Semua persoalan itu digarap kemas oleh Mohd Affandi (walaupun banyak perkara perlu dibahaskan) sedangkan usaha mengangkat semula persoalan berkenaan oleh Mohd Azam Hasnizam dalam penghujahan yang kurang kemas perlu dijawab.

Dalam tulisan itu, Mohd Azam Hasnizam berkata, karya yang dihasilkan semasa kegemilangan kesusasteraan Melayu, iaitu kedatangan Islam pada abad ke-16 dan ke-17 tidak dianggap sebagai karya sastera sehingga pengarang pada zaman berkenaan tidak dianggap sebagai tokoh penting kerana makna 'sastera' sudah disempitkan kepada karya bersifat imaginasi.


BUKU hasil A Samad Ahmad.

Karya klasik, tunjang sastera

Saya tidak pasti apakah karya yang dimaksudkannya tetapi jika hendak dikatakan karya hikayat seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai, Sulatus Salatin, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Abdullah tidak dianggap sebagai karya sastera pada masa ini, maka ia adalah kesilapan yang tidak dapat dimaafkan.

Ini kerana karya itulah menjadi tunjang kepada pembangunan kesusasteraan Melayu bermula daripada sastera hikayat sebagai sastera tradisi dalam meneguhkan jati diri kemelayuan dan kembali kepada ketulenannya.

Lebih ganjil lagi apabila ia difahami bahawa pengarang kitab itu tidak dianggap sebagai tokoh penting dalam dunia sastera. Kenyataan itu seolah-olah menidakkan tokoh seperti Raja Ali Haji, Tun Sri Lanang dan Munshi Abdullah yang pemikiran mereka sering dibincangkan di wacana dan forum kesusasteraan tempatan.

Kewujudan mereka ialah anugerah besar terhadap ketamadunan sastera Melayu yang menghargai karya tradisi yang perlu sentiasa diangkat dan diwacanakan agar kandungan pemikirannya dapat dibedah.

Seterusnya amat pelik lagi sehingga saya tertanya-tanyakan sumbernya apabila Mohd Azam Hasnizam memetik dengan mudah bahawa 'makna sastera sudah disempitkan kepada karya bersifat imaginasi.'

Mungkin ketidakhadaman dalam memahami penghujahan Mohd Affandi terhadap kritikannya terhadap karya sastera masa kini sehingga akhirnya mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Imaginasi sudah tentu tunjang kepada karya sastera, tetapi tidaklah sekadar disempitkan sebegitu.

Penyempitan makna itu samalah seperti menidakkan karya tradisi yang menggunakan teknik penceritaan dalam menyampaikan pemikiran sedangkan pada masa sama, Mohd Azam Hasnizam juga mempertahankannya daripada diluputkan oleh masa dan zaman.

Daripada kenyataan itu, beliau menyimpulkan bahawa karya sastera tidak lagi ditulis oleh orang bijak pandai seperti zaman persuratan, sebaliknya ditulis oleh orang yang 'mabuk berkhayal' sehingga sesiapa saja boleh menulis asalkan tinggi sifat imaginasi dan khayalannya.


MANUSKRIP Hikayat Hang Tuah. - Foto Yazit Razali

Siapa sempitkan makna

Sebenarnya, siapakah yang menyempitkan makna sastera? Makna sastera itu sendiri sebenarnya disempitkan oleh kenyataan itu yang sebenarnya menyebabkan kesusasteraan seolah-olah dipandang hanya sekadar imaginasi saja.

Sebab itu pentingnya untuk kembali membaca dan memahami karya sastera tradisi dalam melihat kesusasteraan itu dibentuk dan proses perkembangannya kepada sastera moden agar tidak mudah memukul rata bahawa perubahan kesusasteraan Melayu dari segi isi dan bentuk adalah kesan penjajahan British.

Mohd Azam Hasnizam perlu mengikuti polemik sastera Islam antara Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad dengan Dr Kassim Ahmad dan pada awal 1980-an untuk melihat fungsi sastera sebagai wadah pembangunan sosial, sekali gus tidak terus disempitkan kepada gagasan Persuratan Baru saja dalam membentuk kerangka menilai serta berfikir.

Beliau juga menulis bahawa karya sastera hari ini bukanlah wadah menampung idea penulis kerana ia dimasukkan tidak melalui proses analisis yang mantap, sebaliknya hanya maklumat secara mentah.

Saya tidak mahu mempersoalkan bukti atau analisisnya terhadap dakwaan itu tetapi ingin mengangkat permasalahan yang berlaku pada masa kini apabila karya sastera dicorakkan oleh sarjana akademik yang memberitahu bahawa cara mereka adalah lebih betul.

Campur tangan sarjana akademik (dalam konteks ini, sarjana persuratan baru) menyebabkan karya sastera itu perlu mempunyai wacana secara berkhutbah dan cerita hanyalah sekadar sampingan semata-mata. Perkara ini menyebabkan 'kemurungan' penulis muda hari ini yang ditakut-takutkan dengan penekanan dua hal terbabit sedangkan ia sendiri melanggar tradisi sastera tradisional yang penuh dengan kebahasaan dan kebudayaan indah.


KARYA Mohd Affandi Hassan.

Pemahaman ilmu kucar-kacir

Tidaklah bermakna saya menyatakan penerapan ilmu adalah asing dalam dunia sastera. Ini kerana ia memang perlu wujud sebagai elemen dalam karya sastera itu sendiri. Namun, pemahaman terhadap penerapan ilmu itulah yang menyebabkan sastera kontemporari kucar-kacir sehingga berkesudahan kerana pengertian ilmu tidak dikembalikan kepada maknanya yang betul.

Persoalan yang wajar direnungkan: Apakah ilmu itu bermaksud karya perlu berkhutbah dan melakukan analisis ataupun ilmu itu bermaksud karya menampung nilai adab dan akhlak yang selari dengan landasan agama? Dan seperti persoalan Kassim kepada Shahnon ketika polemik sastera Islamnya, "Adakah etika dalam sastera soal bentuk atau isi?"

Polemik karya persuratan dan kesusasteraan ini sebenarnya sudah lama ditimbulkan oleh Mohd Affandi dan rakan-rakan sealirannya yang bertujuan (meminjam frasa Wan Nor Azriq), 'membakar sastera kita.'

Saya mengikuti polemik itu secara teliti daripada tulisan-tulisannya yang awal lagi dan mengambil pendekatan bersetuju dan juga tidak bersetuju dengannya.

Menghormati polemik yang dibawa oleh mereka, Mohd Azam Hasnizam wajar untuk mengemaskan lagi hujah kesusasteraan daripada kedua-dua belah sisi dalam memastikan penelitian dan kritikan dapat dibuat dengan lebih adil serta kukuh.

  • Penulis ialah pengarang kelahiran Terengganu yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Darul Iman (HSDI) dalam kategori eceran.
  • 48 dibaca
    Berita Harian X