Ahad, 3 Januari 2016 | 11:09am

Aliran trafik di lebuh raya lancar

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah utara dan selatan ke ibu negara masih lancar setakat jam 10 pagi ini, namun pertambahan kenderaan dijangka berlaku dari semasa ke semasa.

Walaupun PLUS menerusi laman Twitternya melaporkan berlaku lima kemalangan dan satu kebakaran kereta di sepanjang lebuh raya itu pagi ini, trafik secara keseluruhannya masih lancar.

Kemalangan terbabit dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 14.4 timur Kubang Semang ke Lunas pada jam 8.16 pagi; di persimpangan Kuala Kangsar selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar (jam 9.02 pagi) dan di KM 40.5 arah selatan dari KLIA ke Nilai, jam 9.10 pagi).

Kira-kira jam 10 pagi tadi, PLUS melaporkan berlaku satu kemalangan di KM19.8 dari Lukut ke Mambau namun tidak membabitkan penutupan lorong dan seminit kemudian, satu kemalangan dilaporkan berlaku di KM158.6 arah selatan dari Tangkak ke Bukit Gambir menyebabkan lorong kiri terhalang.

Sebuah kereta turut dilaporkan terbakar pada jam 8.18 pagi di KM163.4 arah utara dari Bandar Bahru ke Jawi. Kedua-dua kejadian tidak membabitkan penutupan lorong.

Sementara itu, Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan satu kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berlaku di KM25.7 barat Genting Sempah ke Gombak, namun keadaan trafik setakat ini masih terkawal.

LLM turut melaporkan keadaan trafik semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang setakat ini lancar.

Aliran trafik kebanyakan lebuh raya utama negara terutama yang menuju ke ibu negara dijangka mengalami kesesakan susulan musim cuti persekolahan yang berakhir hari ini sebelum semua sesi persekolahan dimulakan esok.

Berita Harian X