Isnin, 4 Januari 2016 | 9:34am

Trafik bergerak perlahan sekitar ibu negara pagi ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya di sekitar ibu negara dilaporkan mulai perlahan sejak awal pagi tadi, susulan pengguna lebuh raya berpusu-pusu untuk ke destinasi masing-masing selepas tamat cuti sambutan tahun baharu dan persekolahan.

Selain hari pertama bekerja, keadaan ini juga disebabkan ibu bapa mengambil inisiatif untuk keluar awal bagi menghantar anak ke sekolah, terutama yang baru memasuki tahun satu.

Twitter PLUS Trafik pada jam 6.39 pagi tadi melaporkan, trafik bergerak perlahan selepas keluar Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar.

Situasi sama berlaku di Lebuhraya Persekutuan selepas Plaza Tol Batu Tiga menuju Sunway dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) selepas keluar Plaza Tol Damansara menghala Lebuhraya SPRINT.

Di utara, satu kemalangan dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 6.8 Jambatan Pulau Pinang menuju pulau, pada jam 6.54 pagi menyebabkan lorong kanan terhalang.

Di selatan, PLUS pada jam 7.12 pagi melaporkan dua kemalangan berlaku di KM242.3 Senawang ke Pedas Linggi serta jam 8.18 pagi KM74.8 dari Machap ke Ayer Hitam, namun tidak menyebabkan penutupan lorong.

Sementara itu, Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) menerusi laman Twitternya sejak 7.10 pagi tadi melaporkan, trafik bergerak perlahan di susur keluar Jalan Tun Razak, Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) dekat Plaza tol Batu 9 menuju pusat bandar; Puchong Perdana ke Puchong Intan, Plaza Tol PJS ke Lebuhraya Persekutuan dan Penchala ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) serta SPRINT di Lebuhraya NKVE menuju ke Kayu Ara.

Sementara di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), trafik perlahan dari USJ ke Seafield, begitu juga Lebuhraya Pantai Baru (NPE) keadaan sama dilaporkan dari Maju Jaya ke Templer serta Pantai Baru ke Bangsar.

Bagaimanapun, trafik dilaporkan lancar di kedua-dua arah di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Berita Harian X