Isnin, 4 Januari 2016 | 1:03pm

Noorkhiriah tak mahu jadi 'badut'


PELAKON berbakat, Noorkhiriah Ahmad Shapie.

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat, Noorkhiriah Ahmad Shapie, tidak lagi mahu membawa watak lawak sehingga menampakkan dirinya seperti badut.

"Saya juga enggan memainkan peranan yang menggandingkan diri saya dengan pelakon cantik dan akhirnya, ia menampakkan saya menjadi badut," katanya kepada BH Online.

Aktres yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin, ini berkata demikian ketika ditanya mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan yang dilihat tidak lagi aktif seperti dulu.

Kali akhir wanita ini muncul di kaca TV bersama produk baharu adalah sekitar tiga bulan lalu, menerusi telefilem, Along, siaran TV3.

Kelibatnya yang semakin jarang menghiasi program televisyen membuatkan sebahagian peminat beranggapan pemenang tiga trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini sudah tidak berminat untuk terbabit dalam seni.

Beliau mengaku, dirinya masih bersemangat untuk bekerja di hadapan kamera, selain terus menerima tawaran daripada produser. Cuma, undangan yang datang tidak lagi sekerap dulu.

"Memang saya sedar, ada pihak mula beranggapan saya sudah tidak mahu berlakon. Malah, selepas bertudung dan pada usia yang bakal memasuki 40 tahun April depan, pihak produksi mula keliru dan berkira-kira watak apa yang hendak diberikan kepada saya.

"Saya bagaimanapun percaya, soal bertudung bukan isu yang perlu diperbesarkan. Ramai pelakon di negara kita yang sudah menutup kepala dan masih meneruskan kerjaya lakonan masing-masing," kata ibu kepada dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah, 7, dan Muhammad Yusoff, 5 ini.

Noorkhiriah berkata, beliau juga tidak berminat untuk menjalani penggambaran bagi tempoh yang lama.

"Begitupun, bagi drama episod mahupun telefilem, saya tidak kisah mempertimbangkannya andai diberikan watak yang memerlukan saya bermain dengan emosi," katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam seni.

Kekeliruan sesetengah pihak terhadap minatnya dalam lakonan juga dikatakan berpunca daripada tindakan Noorkhiriah yang begitu aktif berniaga, seperti dikongsinya menerusi laman sosial.

Selain tudung, jubah dan blaus, beliau turut menjual barangan untuk mengerjakan umrah serta haji. Wanita ini juga membuka butik mini busana Muslimah di Mutiara Damansara. Selain itu, dirinya baru muncul dengan jenama tudung sendiri.

Berita Harian X