Selasa, 5 Januari 2016 | 8:17am

Pentadbiran Obama perkenal peraturan baharu senjata api

PENTADBIRAN Presiden Barack Obama memperkenalkan peraturan terbaharu penjualan dan pengedaran senjata api sebagai tindakan mengawal kes keganasan bersenjata di negara itu. - Foto Reuters
PENTADBIRAN Presiden Barack Obama memperkenalkan peraturan terbaharu penjualan dan pengedaran senjata api sebagai tindakan mengawal kes keganasan bersenjata di negara itu. - Foto Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Barack Obama hari ini memperkenalkan peraturan terbaharu yang menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai penjualan semua jenis senjata api di negara itu.

Ia mengklasifikasikan semua jenis penjualan dan pengedaran sama ada dalam pertunjukan, pasar lambak, internet atau jualan dalam kedai yang perlu mendapatkan lesen dan menjalani pemeriksaan latar belakang terhadap pembeli.

Peguam Negara AS, Loretta Lynch, berkata beliau tidak dapat memberi anggaran mengenai jumlah penjual senjata api atau pembeli yang akan terbabit dengan peraturan terbaharu itu yang dikuatkuasakan oleh Biro Alkohol, Tembakau, dan Senjata Api Amerika Syarikat (ATF).

Sehubungan itu, Lynch berkata, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan meningkatkan anggotanya sebanyak 50 peratus bagi memeriksa latar belakang pembeli, termasuk lebih 230 pemeriksa dan kakitangan baharu.

Sementara itu, Rumah Putih berkata, Obama akan mencadangkan pengambilan 200 ejen baharu ATF dan anggota penyiasat, selain meminta Kongres supaya melabur AS$500 juta (RM2.16 bilion) untuk meningkatkan akses kepada kesihatan mental. - Reuters

Berita Harian X