Selasa, 5 Januari 2016 | 9:01am

Terengganu beralih pancing bekas penyerang Inter Milan


BEKAS pemain Inter Milan, Victor Obinna.

KUALA TERENGGANU: Selepas menolak permintaan bekas penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme yang menuntut gaji RM400,000 sebulan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) beralih ke luar negara untuk mencari penyerang berbisa mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

BH Sukan difahamkan, PBSNT mengemukakan surat tawaran kepada penyerang idamannya, iaitu bekas pemain Inter Milan, Victor Obinna untuk mengemudi barisan depan skuad Penyu.

Penyerang berusia 28 tahun itu dikatakan pernah menyarung jersi kelab gergasi Eropah seperti Chievo, Malaga di Serie A dan West Ham di Liga Perdana Inggeris (EPL).

"PBSNT sudah menghantar surat tawaran kepada pemain kelahiran Jos, Nigeria itu. Setakat ini, penyerang itu masih belum memberi kata putus mengenai tawaran berkenaan," kata satu sumber PBSNT, semalam.

Beliau berkata, jika bersetuju, Obinna perlu lulus ujian pemeriksaan kesihatan dan bebas daripada sebarang kecederaan

"Obinna adalah calon terbaharu PBSNT dan setakat ini belum ada kata putus diberikan penyerang terbabit.

"Jadi, sama ada pemain ini akan menerima tawaran Terengganu atau tidak, kita akan diketahui dalam masa terdekat," katanya.

Selain Nwakaeme, Terengganu juga cuba memancing pemain kelahiran Brazil, Keirrison de Souza Carneiro yang beraksi di Liga Sepanyol dan Itali, kemudian membatalkan hasrat itu selepas mendapati rekod penyerang berusia 28 tahun itu tidak menepati kriteria.

Berita Harian X