Selasa, 5 Januari 2016 | 11:05am

PM Guinea lantik wanita pegang jawatan penting

CONAKRY: Perdana Menteri Guinea mengumumkan Kabinet baharunya termasuk melantik beberapa wanita mengetuai kementerian penting ketika negara miskin itu memulakan langkah pemulihan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup golongan muda.

Pembentukan Kabinet itu dibuat selepas Presiden, Alpha Conde mengangkat sumpah penggal baharu lima tahun susulan pilihan raya yang pembangkang dakwa dicemari penipuan undi dan penyelewengan.

"Kerajaan baharu itu dimulai dengan pelantikan 16 menteri baharu, kesemuanya dipilih berdasarkan kepakaran masing-masing dan diiktiraf di atas keupayaan dan pengalaman di peringkat antarabangsa," kata kenyataan Presiden.

PRESIDEN Guinea, Alpha Conde.

Kenyataan itu berkata, di antara muka baharu dalam Kabinet Perdana Menteri, Mamady Youla ialah Menteri Ekonomi dan Kewangan, Malado Kaba, 44, yang "menghabiskan kerjaya profesionalnya di Suruhanjaya Eropah dalam bidang pembangunan."

Turut dipilih dalam Kabinet baharu Guinea itu ialah Menteri Luar, Makale Camara yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pertanian ketika Guinea di bawah pemerintahan tentera dan Abdoulaye Magassouba yang mengambilalih jawatan Menteri Perlombongan dan Geologi. - AFP

Berita Harian X