Selasa, 5 Januari 2016 | 4:49pm

Jackie azam perbaharui rekod kebangsaan


AKSI atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong.

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong mengintai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada musim ini menerusi penyertaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Beliau yang mencatat 63.71m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina pada Mac tahun lepas, percaya dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mengatur jadual kejohanan untuk skuad olahraga negara pada tahun ini, terutamanya dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2017.

"Kalendar kejohanan tahun ini sudah dikeluarkan oleh KOM namun kami (skuad olahraga negara) masih belum dimaklumkan mengenai kejohanan yang bakal disertai pada tahun ini tetapi itu tidak merisaukan saya.

"Hal ini kerana jurulatih (Gu Yuan) dari China sentiasa membuat pemantauan rapi ke atas saya dan juga rakan sepasukan yang lain dalam sesi latihan namun adalah lebih baik sekiranya kami dimaklumkan lebih awal supaya persiapan rapi boleh dilakukan sebelum menyertai mana-mana kejohanan," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, anak jati Sarikei itu mengakui kehadiran Gu Yuan yang adalah pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia 2002 sejak dua tahun lepas, nyata banyak membantu skuad baling tukul besi negara dari segi corak latihan termasuk teknik balingan.

Wong yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia menjelaskan hasil tunjuk ajar Gu Yuan sejak 2013, sebanyak empat rekod peribadi miliknya berjaya diperbaharui.

"Saya bagaimanapun tidak boleh cepat berpuas hati kerana banyak kelemahan dalam corak latihan yang masih perlu diperbaiki dan saya sentiasa mengadakan perbincangan dengan beliau untuk meningkatkan jarak balingan," katanya.

Ditanya mengenai saingan di peringkat Asean, Wong menjelaskan negara Thailand dan Filipina adalah dua negara pencabar yang menjadi penghalang untuknya meraih pingat emas dalam beberapa temasya sukan seperti Sukan SEA.

"Diharap pada Sukan SEA 2017 di sini, saya mampu menghadiahkan pingat emas pertama untuk negara setelah sekadar meraih pingat gangsa pada tiga edisi terdahulu iaitu pada 2011 di Indonesia, 2013 (di Myanmar) dan 2015 (di Singapura)," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X