Selasa, 5 Januari 2016 | 9:53pm

The Fighters tidak perlu kongsi stadium musim ini

STADIUM Tun Abdul Razak di Jengka.

KUALA LUMPUR: Penyokong setia The Fighters pasti gembira apabila Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang disahkan siap dan hanya menunggu pemeriksaan akhir oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk digunakan sebagai gelanggang sendiri untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Stadium bernilai RM87.9 juta itu bakal memudahkan hampir 30 tanah rancangan FELDA di sekitar Jengka untuk datang memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka itu.

"Untuk makluman kami sudah mendapat kelulusan untuk mengguna pakai stadium pada musim ini selepas FAM menjalankan pemeriksaan pertama sebelum ini.

"Pemeriksaan kedua pada 27 Januari ini adalah peringkat terakhir untuk mereka melihat kelengkapan stadium dan pada dasarnya tiada halangan untuk dijadikan gelanggang tuan rumah," kata Timbalan Presiden FELDA United FC, Datuk Mohd Isa Abu Kasim pada sidang media di sini, hari ini.

Skuad Liga Super FELDA United yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim sebelum ini terpaksa berkongsi gelanggang dengan pasukan lain dengan menyewa Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Stadium Tun Abdul Razak yang memiliki kapasiti 20,000 penonton mula dibina pada April 2013 bakal menjadi gelanggang termoden di Malaysia dengan mengikut spesifikasi Eropah selain menggunakan rumput tiruan.

Mohd Isa berkata, pusat latihan pasukannya itu bagaimanapun masih kekal di Bangi dengan mereka hanya akan tiba di Jengka tiga hari sebelum perlawanan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang.

Ditanya apakah akan timbul isu membabitkan penginapan pasukan lawan memandangkan lokasinya yang kurang strategik, Mohd Isa segera menepis tanggapan itu sambil berkata stadium itu dibina selepas mendapatkan pandangan semua termasuk FAM.

"Kita membina stadium ini selepas mendapat persetujuan semua dan terdapat beberapa hotel penginapan di Jengka seperti Resort Sungai Ketam, Jengka selain Hotel Seri Malaysia di Temerloh dengan jarak perjalanan satu jam.

"Kuantan pula hanya terletak satu jam setengah daripada stadium ini dan ini jarak masa yang dibenarkan FAM untuk ke stadium buat pasukan pelawat," katanya.

Berita Harian X