Ahad, 12 Oktober 2014 | 2:41pm

Rawatan alternatif bantu tingkat tahap kesihatan pesakit HSNZ


PENGARAH HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah (kiri) mencuba dengan mengurut tangannya ketika melawat Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari di HSNZ. - Foto Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU: Usaha Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyediakan perkhidmatan rawatan tambahan kepada perubatan moden, memberi manfaat kepada puluhan ribu pesakit di negeri ini.

Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari yang mula beroperasi sejak 1 Januari 2010 di HSNZ itu menyediakan khidmat urutan tradisional Melayu dan rawatan akupuntur manakala rawatan tradisional Melayu selepas bersalin pula diperkenalkan pada akhir 2012.

Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata sehingga kini sebanyak 3,566 pesakit lelaki dan 5,345 pesakit wanita telah menerima rawatan urut tradisional manakala 11,767 pesakit menerima rawatan akupuntur di hospital berkenaan.

"Bagi rawatan tradisional Melayu selepas bersalin pula, seramai 520 ibu telah mendapatkan rawatan di unit ini termasuk urutan khas mengembalikan kesegaran selepas bersalin dan urutan perbidanan.

"Malah, HSNZ sangat menggalakkan agar pesakit dari daerah lain di negeri ini, terutama golongan kurang berkemampuan agar merujuk doktor di hospital daerah untuk mendapatkan rawatan di unit ini bagi meringankan beban kewangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam taklimat khas perkembangan unit itu kepada media yang disampaikan Penolong Pengarah Kanan Farmasi, Cawangan Perubatan Tradisional dan Komplementari, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Noor Shukriah Hassan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahim berkata perkhidmatan rawatan alternatif itu juga bertujuan memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan tambahan.

"Sehubungan itu, saya berharap penduduk di Terengganu dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan ini yang lebih terjamin kaedah perubatannya berbanding berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional yang diragui kesahihannya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X