Rabu, 6 Januari 2016 | 2:00pm

Ambil Obinna, PBSNT sahkan buat tawaran rasmi


VICTOR Obinna. - Foto EPA

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan sudah membuat tawaran rasmi kepada bekas pemain Inter Milan, Victor Obinna untuk menyarung jersi Terengganu musim ini. 

Begitupun, PBSNT tidak sewenang-wenangnya menandatangani kontrak bekas penyerang kebangsaan Nigeria berusia 28 tahun itu, sebaliknya bergantung kepada keputusan pemeriksaan kesihatan dan kecederaan pemain itu.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata penyerang yang pernah menyarung jersi kelab gergasi Eropah seperti Chievo, Malaga di Serie A dan West Ham di Liga Perdana Inggeris (EPL) pernah menjalani pembedahan lutut sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya kini hanya menunggu kehadiran pemain kelahiran Jos, Nigeria itu ke negeri ini dalam tempoh terdekat bagi menjalani pemeriksaan lanjut dengan kepakaran doktor yang dilantik PBSNT.

"Keputusan sama ada kita mengambil Obinna atau sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada keputusan pemeriksaan kesihatan dan tahap kecederaan pemain ini.

"Sekiranya didapati pemain ini masih berdepan dengan kecederaan serius, kita tidak sesekali mengambilnya kerana tidak mahu menanggung risiko," katanya.

Semalam, PBSNT dilaporkan mahu beralih ke luar negara untuk mencari penyerang berbisa mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini, selepas menolak permintaan bekas penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme yang menuntut gaji RM400,000 sebulan.

PBSNT juga dikatakan mengemukakan surat tawaran kepada penyerang idamannya yang pernah menyarung jersi Obinna untuk mengemudi barisan depan skuad Penyu.

17 dibaca
Berita Harian X