Jumaat, 8 Januari 2016 | 7:43am

Penyediaan makanan tidak memuaskan punca murid keracunan


ANTARA murid prasekolah yang menerima rawatan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Nerang. - Foto Danial Noordin

ALOR SETAR: Kes keracunan makanan yang membabitkan 16 murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Tualak, Kuala Nerang kelmarin disyaki berpunca daripada daging yang digunakan untuk bahan masakan nasi goreng.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, dalam kenyataan hari ini berkata siasatan awal oleh Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap mendapati keracunan makanan disyaki akibat penyediaan daging yang kurang memuaskan.

Dalam kejadian kelmarin, lapan murid lelaki dan lapan murid perempuan berusia 5 hingga 6 tahun mengalami gejala muntah-muntah, demam dan cirit birit serta sakit perut setelah memakan makanan disediakan pihak sekolah.

Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap menerima makluman kejadian itu daripada Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang kira-kira 11 jam malam.

Dr Norhizan berkata, hingga jam 5 petang Khamis, sebanyak 10 daripada 16 pelajar mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang.

Daripada 10 pelajar terbabit, tujuh dimasukkan ke wad dengan tiga dirawat sebagai pesakit luar.

"Daripada tujuh yang dimasukkan ke wad, seorang dibenarkan pulang dan kini enam masih dirawat di wad. Pelajar yang dimasukkan ke wad disebabkan keadaan mereka lemah namun stabil," katanya.

Mereka yang terbabit dengan penyediaan makanan katanya juga telah diberi nasihat mengenai cara penyediaan makanan yang betul. - BERNAMA

Berita Harian X