Jumaat, 8 Januari 2016 | 7:57pm

MAIK tambah bayaran sara hidup kepada RM400

Gambar: Nik Abdullah Nik Omar


TENGKU Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kanan) menyampaikan ' mock cheque ' kepada wakil Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mewakili Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Istana Kota Lama, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan sumbangan sebanyak RM12 juta kepada Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

 

Sumbangan itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YIK dan YAKIN di Istana Kota Lama, di sini, hari ini.

Sumbangan sebanyak RM7 juta diagihkan kepada YAKIN bagi menyiapkan pembinaan asrama pelajar Kelantan di Kaherah, Mesir, manakala RM5 juta untuk pengurusan sekolah agama di bawah YIK bagi meringankan bebanan kewangan yayasan berkenaan.

 

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan sumbangan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad.

 

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Serpudin Mohamed, majlis itu akan menambah bayaran kos sara hidup 10,000 penerima bantuan bulanan daripada RM350 kepada RM400 mulai bulan ini.

 

"MAIK juga menambah bantuan sekali gus daripada RM2,500 kepada RM4,000 untuk lebih 100 pelajar yang menuntut di luar negara bagi mengurangkan beban dihadapi mereka berikutan kejatuhan ringgit Malaysia," katanya.

Berita Harian X