Isnin, 11 Januari 2016 | 12:42pm

Rancangan jangka pendek elak catuan air berulang

DATUK Ir Hasni Mohammad . Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor.

JOHOR BAHRU: Langkah meningkatkan paras air di Empangan Sungai Lebam dekat Kota Tinggi yang membabitkan kos tambahan lebih RM15 juta, dijangka berupaya mengatasi kesan fenomena El Nino.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor,

berkata kerajaan negeri yakin rancangan jangka pendek itu dapat mengelak bekalan air berjadual daripada berulang di sekitar Kota Tinggi dan daerah ini, terutama susulan fenomena cuaca panas melampau.

Katanya, Johor sudah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) berjumlah RM100 juta bagi meningkatkan penyaluran air ke Empangan Sungai Layang, Pasir Gudang yang turut terjejas akibat kemarau.

"Kerajaan negeri menyedari fenomena El Nino manakala rancangan jangka pendek bagi mengatasi masalah bekalan air di Pengerang dan Johor Bahru sudah dan sedang dilaksanakan.

"Kesan El Nino boleh menjejaskan paras Empangan Sungai Lebam dan Layang tetapi keadaan masih terkawal," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fenomena cuaca panas melampau itu yang boleh menyebabkan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di daerah ini dilanjutkan.

Hasni berkata, bekalan air berjadual di kawasan terjejas di Pasir Gudang, Masai dan sebahagian Johor Bahru ditamatkan akhir tahun lalu manakala di Kota Tinggi dan Pengerang masih diteruskan sehingga Jumaat ini.

"Dengan siapnya Projek Air Mentah RAPID di Pengerang yang mendapat sumber air dari Empangan Sungai Seluyut, kerajaan negeri akan berbincang dengan PETRONAS berhubung hasrat mendapatkan sumber air dari punca yang sama.

"Kita akan minta perunding mengkaji kesesuaian dan kaedah untuk melaksanakan rancangan berkenaan," katanya.

Berita Harian X