Isnin, 11 Januari 2016 | 5:38pm

David Bowie cinta agung Iman

MENDIANG David Bowie bersama Iman. - Foto Reuters

LOS ANGELES: Ramai orang tahu kesetiaan dan kasih sayang bekas model era 1980-an, Iman terhadap suami, mendiang David Bowie, 69, yang mengejutkan dunia apabila disahkan menemui ajal selepas 18 bulan bertarung dengan barah, hari ini.

Sejak berita kematian Bowie tersebar, Iman dihujani ucapan takziah daripada peminat termasuk selebriti yang bersimpati dengan dirinya yang dianggap tulang belakang kepada kejayaan bintang legenda itu.

Semakan BH Online mendapati, kali terakhir Iman memuat naik status di laman Instagram dan Twitter adalah kira-kira 18 jam lalu.

Status berbunyi - 'The struggle is real, but so is God' (perjuangan ini benar, seperti mana juga Tuhan) dan 'Sometimes you will never know the true value of moment until it becomes a memory' (Ada kalanya kita tidak mungkin tahu nilai sebenar suatu detik hinggalah ia menjadi kenangan) seolah-olah menggambarkan perasaan Iman dalam berdepan detik mencabar ini.

Menyingkap kisah percintaan mereka, ada laporan menyebut Iman pada mulanya tidak bersedia untuk mencintai Bowie.

Iman dikatakan lebih menghargai Bowie sebagai lelaki biasa, bukannya superstar yang menjadi kegilaan ramai.

KIRIMAN terakhir Iman di laman Instagramnya.

"Bagi dia, mungkin cinta kami ini mengujakan. Tetapi, saya sebenarnya belum mahu ada apa-apa hubungan cinta lagi selepas pernah dua kali berkahwin.

"Betul, saya sebenarnya tak mahu ada hubungan cinta dengan lelaki sepertinya. Seperti saya pernah katakan, saya sebenarnya lebih jatuh hati kepada David Jones (nama sebenar Bowie) dan bukan dengan David Bowie.

"Bowie hanya lelaki yang mempunyai pesona. Dia seorang penyanyi dan penghibur. David Jones ialah lelaki yang pernah saya temui dan cintai," katanya.

Dua jam lalu, berita kematian Bowie mengejutkan industri hiburan. Bowie yang menderita penyakit kanser, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tercinta.

Bowie baharu saja melancarkan album ke-25 berjudul BlackStar pada 8 Januari lalu sempena hari jadinya yang ke-69. Salah sebuah lagu dalam album itu berjudul Lazarus ciptaan Bowie bagai menggambarkan perasaan penyanyi itu yang tahu ajalnya hampir tiba.

Bait lirik lagu itu membayangkan Bowie kini sudah pergi dan bebas.

Mendiang berkahwin dengan Iman pada 24 April 1992 di sebuah majlis tertutup di Lausanne. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Alexandria Zahra Jones yang dilahirkan pada 15 Ogos 2000.

Antara bait lirik Lazarus

Look up here, I'm in heaven
I've got scars that can't be seen
I've got drama, can't be stolen
Everybody knows me now

This way or no way
You know I'll be free
Just like that bluebird
Now, ain't that just like me?

Oh, I'll be free
Just like that bluebird
Oh, I'll be free
Ain't that just like me?

Berita Harian X