Selasa, 12 Januari 2016 | 12:04am
PENGASAS dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah.
ANTARA busana muslimah diperagakan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Festival Fesyen Muslimah (IFF) di Hotel Le Meredien. - Foto Adi Safri
BUSANA muslimah yang mempesonakan. - Foto Adi Safri

Perjalanan sedekad IFF jadi kebanggaan


RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun (dua dari kanan) berkenan menyampaikan plak penghargaan kepada Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom (kiri) pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Festival Fesyen Muslimah (IFF) di Hotel Le Meredien. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (kanan) dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri). - Foto Adi Safri

PENGANJURAN Festival Fesyen Muslimah (IFF ) sejak tahun 2006 membuktikan kesungguhannya mengangkat kedudukan fesyen bersesuaian dengan tuntutan Islam.

Visi itu nyata tercapai apabila acara itu mampu mengadakan persembahan di pentas peragaan di kota fesyen dunia, sekali gus melakarkan namanya termasuk di Abu Dhabi, Manila, Monte Carlo, New York, London dan Paris.

Selepas beberapa siri penganjuran, acara fesyen Islam bertaraf dunia itu berjaya membuktikan tahap kematangannya selain cemerlang dan terus berada di kemuncak.

Lebih menarik, setiap kali penganjurannya ia turut memberikan kelainan terhadap kepelbagaian gaya dan kreativiti serta menyerlahkan ragam fesyen busana Muslimah yang berwarna-warni.

Sepanjang penganjuran IFF, seramai 250 pereka fesyen mengambil bahagian dan mempersembahkan rekaan koleksi masing-masing.

Banyak perubahan positif ditunjukkan menerusi hasil kreativiti dipersembahkan, malah ia turut membuktikan komitmen pereka terbabit untuk tampilkan hasil rekaan berteraskan syariat.


KOLEKSI busana muslimah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Festival Fesyen Muslimah (IFF) di Hotel Le Meredien. - Foto Adi Safri

IFF wajar dibanggakan

Sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-10 acara berprestij itu, satu majlis makan malam dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada semua terbabit dan tidak jemu memberi sokongan menjayakan IFF selepas menamatkan siri penjelajahan ke-35 yang baharu melabuhkan tirainya pada 7 hingga 9 Disember lalu.

Bertemakan 'Asharah' bermaksud 10 dalam bahasa Arab, majlis makan malam eksklusif berlangsung di Hotel Le Meridien itu turut diperkenankan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Pengasas dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah, berkata beliau sangat berpuas hati apabila IFF berjaya mendedahkan pemahaman mengenai fesyen Islam dan membawanya hingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, perjalanan IFF sewajarnya dibanggakan masyarakat kerana selain menghasilkan rekaan menutup aurat ia juga memberi fokus mengenai budaya yang masih dikekalkan sebagai warisan selain menjadi platform menyentuh aspek pemakaian mengikut Islam.


MODEL memperagakan busana muslimah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Festival Fesyen Muslimah (IFF) di Hotel Le Meredien. - Foto Adi Safri

Jadi ikutan

"Selepas 10 tahun, kini hasil kreativiti dan ilham gaya diketengahkan menjadi ikutan penggemar fesyen khususnya dalam kalangan Muslimah tempatan hingga ke peringkat antarabangsa.

"Kehadiran IFF juga membuka peluang kepada ramai pereka dan pengusaha untuk memperkenalkan rekaan mereka sama ada untuk digayakan sebagai pakaian rasmi, kasual, ke pejabat, renang atau pakaian pengantin menyerlahkan keanggunan si pemakai," katanya, ketika majlis makan malam Gala, IFF, baru-baru ini.

Acara makan malam itu dimeriahkan dengan pementasan fesyen himpunan dari 10 pereka tempatan dan Indonesia yang pernah mewarnai penganjuran IFF sejak ia mula diperkenalkan.

Persembahan fesyen itu disertai oleh Melinda Looi, Datuk Bernard Chandran, Khoon Hoi, Calvin Thoo, Syaiful Baharim, Datuk Tom Abang Saufi dan pereka dari negara jiran antaranya Ghea Yajameel, Jeny Tjahyawati dan Milo, sekali gus mengembalikan nostalgia perjalanan IFF sejak ia mula diperkenalkan.

Berita Harian X