Selasa, 12 Januari 2016 | 9:33am

Nwakaeme kembali berunding dengan Terengganu


PENYERANG kelahiran Lagos, Nigeria,Dickson Nwakaeme sewaktu mewakili Pahang.

KUALA LUMPUR: Selepas permintaan gaji melebihi RM400,000 sebulan sebelum ini ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dickson Nwakaeme kembali semula untuk berunding buat kali kedua.

   

Ejen kepada pemain kelahiran Lagos, Nigeria yang juga bekas penyerang Kelantan dan Pahang itu tampil bersemuka dengan pengurusan PBSNT, di sini, kelmarin.

   

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata kali ini ejen penyerang berusia 29 tahun itu menurunkan tuntutan gaji separuh daripada permintaan sebelum ini iaitu lebih RM200,000 (USD50,000) sebulan.

   

Begitupun, katanya pihaknya masih tidak bersetuju kerana jumlah gaji itu masih tinggi kerana tidak termasuk beberapa tuntutan lain yang dikemukakan mereka.

   

"Dalam rundingan dengan ejennya semalam (kelmarin), kita menetapkan sejumlah gaji yang mampu dibayar kepada Nwakaeme. Kini terpulang kepada dia sama ada mahu menerima atau tidak.

   

"Sekarang keputusan di tangan mereka, jika dia tetap dengan permintaannya itu, maka Nwakaeme perlu melupakan hasrat menyarung jersi Terengganu musim ini," katanya kepada BH Sukan, di sini, semalam. 

   

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan PBSNT mengakui cuba mendapatkan khidmat Nwakaeme yang terkenal dengan gelaran 'orang besi' untuk memperkuatkan jentera skuad Penyu mengisi tempat Paulo Rangel, musim ini.

   

Begitupun, permintaan gaji tinggi melebihi RM400,000 sebulan (USD100,000) memaksa PBSNT membuat keputusan melupakan hasrat memancing bekas penyerang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC itu.

   

Dalam pada itu, Arpin berkata pihaknya turut membuat keputusan untuk membatalkan hasrat mengambil bekas pemain Inter Milan, Victor Obinna.

   

Katanya, penyerang berusia 28 tahun kelahiran Jos, Nigeria itu meminta gaji terlalu tinggi melebihi tawaran yang diberikan kepadanya sebelum ini.

   

"Kita memutuskan untuk membatalkan hasrat mengambil Obinna selepas pemain ini meminta gaji terlalu tinggi.

   

"Justeru, kita bakal menguji sekurang-kurangnyanya empat pemain luar negara bagi mengisi kekosongan kuota import keempat pada pramusim di Kuala Lumpur, minggu depan," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X