Selasa, 12 Januari 2016 | 12:17pm

Tiga pengedar dadah dicekup

KETUA Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail (tengah), menunjukkan barangan yang dirampas daripada tiga suspek yang ditahan dalam Ops Tapis. - Foto NSTP
KETUA Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail (tengah), menunjukkan barangan yang dirampas daripada tiga suspek yang ditahan dalam Ops Tapis. - Foto NSTP

JERANTUT: Seorang lelaki yang pernah disabitkan kesalahan mengedar dadah, antara tiga individu ditahan di sebuah hotel bajet di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, berkata pemeriksaan pada bilik hotel berkenaan menemui dadah jenis heroin seberat 39.85 gram, syabu seberat 4.61 gram dan sebanyak 32 biji pil kuda.

Katanya, pemeriksaan ke atas seorang suspek menemui syabu dan pil kuda.

"Ketika diserbu, mereka asyik membungkus dadah untuk dipasarkan sekitar daerah ini.

"Kita percaya hotel berkenaan digunakan sebagai transit mengedar dadah dan siasatan mendapati mereka terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sini sejak satu bulan lalu," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya merampas dadah, kereta jenis Toyota Camry, dan Isuzu Trooper serta sebuah motosikal yang semuanya dianggarkan bernilai RM30,000 selain wang tunai RM1,417.

"Pemeriksaan air kencing suspek juga mendapati positif dadah dan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah mengikut Seksyen 39B ADB 1952 serta disabitkan kesalahan," katanya.

Azid berkata, mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X