Selasa, 12 Januari 2016 | 12:30pm

2 budak akan sertai Majlis Kanak-Kanak

CYBERJAYA: Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sesi persidangan tahun ini. 

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata rang undang-undang itu yang dibacakan kali pertama pada sesi persidangan yang lalu antara lain akan memasukkan peruntukan keahlian kanak-kanak dalam Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak. 

"Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda bagi mengukuhkan lagi peruntukan untuk kebajikan dan perlindungan kanak-kanak. 

"Berdasarkan pindaan yang dicadangkan, keahlian Majlis ini akan turut memasukkan dua wakil dalam kalangan kanak-kanak yang akan dilantik oleh Menteri (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). 

"Ini adalah hasrat dan manifestasi untuk membabitkan kanak-kanak dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Universiti Islam Malaysia (UIM) Mengenai Hikmah 2016 (ICW 2.0) di sini, pagi ini.

Ucapan beliau dibacakan Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek. 

Yang turut hadir, Presiden UIM, Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor. 

Apandi berkata, selain itu, pindaan lain yang dibuat bagi akta baharu itu adalah memansuhkan hukuman sebatan bagi kanak-kanak yang terkandung di bawah Seksyen 91, Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman sebat tidak lebih dari 10 kali sebatan yang diputuskan mahkamah kepada kanak-kanak lelaki yang disabitkan melakukan kesalahan jenayah. 

Pada awal Disember tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali pertama.     

Selain dua pindaan berkenaan, pindaan lain termasuk hukuman lebih berat kepada ibu bapa yang cuai dalam penjagaan kanak-kanak, pengenalan Perintah Khidmat Masyarakat ke atas kanak-kanak yang melakukan jenayah dan pesalah yang mendera atau mengabai kanak-kanak, serta penempatan kanak-kanak dalam penjagaan berasaskan keluarga bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan termasuk yang menjadi mangsa dera, terabai dan tidak terkawal. 

Rohani berkata, selepas diluluskan kelak, akta itu akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara.

Berita Harian X