Selasa, 12 Januari 2016 | 3:08pm

Terengganu catat peningkatan kes denggi

DATUK Muhammad Pehimi Yusof melawat keluarga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam di sini, yang menjadi korban terbaru denggi di rumahnya di Kampung Tanjung Paya, sebentar tadi. - Foto Mohd Syafiq Ambak
DATUK Muhammad Pehimi Yusof melawat keluarga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam di sini, yang menjadi korban terbaru denggi di rumahnya di Kampung Tanjung Paya, sebentar tadi. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat peningkatan purata 30 pesakit demam denggi sehari yang dimasukkan ke wad sejak tiga hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata 141 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu bagi tahun ini setakat ini, berbanding 35 kes bagi tempoh sama pada 2015.

Katanya, Kuala Terengganu mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 101 kes diikuti Kuala Nerus (13), Dungun (10), Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima, Kemaman (tiga), Marang (tiga) dan Setiu (satu).

"Kita turut mengenal pasti 12 kawasan wabak denggi termasuk dua lokasi baharu iaitu Flet Polis Hiliran dan Kampung Nibong di Kuala Terengganu.

"Kawasan lain ialah Taman Permint Perdana Fasa 1, Taman Permint Perdana Fasa 5 dan Kampung Duyung Besar di Kuala Nerus serta Kampung Losong Haji Su, Kampung Panji Alam, Kampung Chendering Pantai, Bukit Besar, Kampung Gong Tok Nasek Hilir, Kedai Buloh dan Losong Haji Mat Shafie," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam di sini, yang menjadi korban terbaru denggi di rumahnya di Kampung Tanjung Paya, sebentar tadi.

Nur Amera Natasha Shahrudin, 12, disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi semalam, di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

Sebelum ini, dua mangsa, Anisah Mustafa, 49, meninggal dunia pada Sabtu lalu selepas dua hari menerima rawatan di HSNZ akibat denggi manakala seorang warga tua, Yusof Ismail, 65, meninggal dunia pada 2 Januari lalu.

Berita Harian X