Selasa, 12 Januari 2016 | 3:26pm

CIMB perkenal produk haji takaful keluarga universal


KETUA Pegawai Eksekutif Sun Life, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Rafe Haneef melancarkan Takaful Suria di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank melancarkan Takaful Suria, produk haji takaful universal pertamanya yang menggabungkan elemen simpanan, perlindungan dan kestabilan kewangan untuk membantu umat Islam menunaikan ibadah berkenaan.

Produk yang dibangunkan secara eksklusif oleh rakan kongsi bankatakaful, Sun Life Malaysia Takaful Bhd, menyediakan pembayaran khas sebanyak RM1,500 kepada individu yang diinsuranskan selepas tahun ketiga bagi membuka akaun Tabung Haji atau menambah jumlah simpanan sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life, Muhammad Fikri Mohamad Rawi, berkata produk itu mempunyai penstabil yang akan memberi pulangan secara beransur-ansur tidak seperti insurans konvensional yang lebih terdedah kepada ketiaktentuan pasaran.

"Melalui Takaful Suria, kami boleh memberi jaminan selain melengkapkan persediaan haji/umrah untuk pelanggan bank," katanya selepas pelancaran itu di sini, hari ini.

Muhammad Fikri berkata, bahagian pasaran syarikat industri Takaful di Malaysia pada 8.6 peratus pada suku ketiga 2015.

Pada masa ini, kadar penembusan insurans takaful dalam negara pada 13 peratus daripada 56 peratus gabungan dengan insurans konvensional. Kerajaan menyasarkan kadar penembusan pada 75 peratus menjelang 2020.

"Kami menjangka kadar penembusan industri takaful berkembang kira-kira 14 peratus pada 2015 dan dijangka bertambah baik antara 0.5 dan 1.0 peratus tahun ini berdasarkan kepada trend pertumbuhan industri sejak lima tahun lepas," kata Muhammad Fikri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Rafe Haneef, berkata sejak pelancaran awal produk itu pada November 2015, ia memperoleh hampir 1,000 polisi.

"Produk berkenaan juga didatangkan dengan faedah akhir di mana nilai akaun universal dibayar pada akhir tempoh kontrak.

"Ia juga menggandakan manfaat asas yang akan dibayar sekiranya berlaku kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal semasa menunaikan haji/umrah," kata Rafe. - BERNAMA

Berita Harian X