Rabu, 13 Januari 2016 | 12:15am
ANTARA aktiviti di tapak semaian yang menggunakan sumber air secara haram. - Foto Asyraf Hamzah
ANTARA aktiviti di tapak semaian yang menggunakan sumber air secara haram. - Foto Asyraf Hamzah
PUSAT Kawalan Kusta Negara (PKKN) terpaksa menanggung bil air sehingga lebih RM100,000 sebulan. - Foto Asyraf Hamzah
PUSAT Kawalan Kusta Negara (PKKN) terpaksa menanggung bil air sehingga lebih RM100,000 sebulan. - Foto Asyraf Hamzah
AIR yang digunakan secara haram untuk proses semaian. - Foto Asyraf Hamzah
AIR yang digunakan secara haram untuk proses semaian. - Foto Asyraf Hamzah
PENCEROBOHAN secara terang-terangan di Pusat Kawalan Kusta Negara. - Foto Asyraf Hamzah
PENCEROBOHAN secara terang-terangan di Pusat Kawalan Kusta Negara. - Foto Asyraf Hamzah
PAPAN tanda larangan menceroboh tanah di Hospital Sungai Buloh yang tidak diendahkan. - Foto Asyraf Hamzah
PAPAN tanda larangan menceroboh tanah di Hospital Sungai Buloh yang tidak diendahkan. - Foto Asyraf Hamzah
KEADAAN rumah yang didiami pekerja asing.
KEADAAN rumah yang didiami pekerja asing.
PEKERJA asing ketika ditemubual wartawan BH di tapak semaian haram. - Foto BH
PEKERJA asing ketika ditemubual wartawan BH di tapak semaian haram. - Foto BH

Bil air rumah tinggal RM110,000 sebulan

SUNGAI BULOH: Sikap tidak peduli terhadap pencerobohan penempatan bekas pesakit kusta hingga ia menjadi penempatan warga asing dan nurseri haram, menyebabkan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dipercayai menanggung bil air sehingga hampir RM110,000 sebulan.

Sumber berkata, bil air yang tinggi itu didedahkan dalam satu mesyuarat pentadbiran kira-kira dua bulan lalu, selepas sekian lama berdepan situasi sama tetapi sekitar RM90,000 sebulan.

Bekalan air yang disalurkan ke situ merangkumi penggunaan oleh rumah bekas pesakit kusta yang masih mendiami pusat terbabit berbaki sekitar 120 unit, selepas sebahagian besar kediaman di situ, sudah diarahkan untuk pengosongan.

Kebanyakan baki bekas pesakit kusta yang masih tinggal di situ masing-masing berusia lebih 60 tahun dan tidak menggunakan air dalam kuantiti yang banyak.

AKTIVITI tapak semaian masih dijalankan seperti biasa di tanah milik Hospital Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
AKTIVITI tapak semaian masih dijalankan seperti biasa di tanah milik Hospital Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah

"Dalam mesyuarat itu, ada dinyatakan jika diambil kira jumlah penghuni yang dibenarkan dengan bil yang diterima, penggunaan air untuk setiap kediaman melebihi RM800 sebulan, sedangkan penghuni yang ada terlalu kecil untuk bil sebanyak itu.

"Apa yang membuatkan bil kawasan ini terlalu tinggi kerana zon yang sudah dikosongkan selepas bekas pesakit meninggal dunia atau berpindah keluar, diceroboh dijadikan kediaman oleh warga asing, manakala kawasan sekitarnya dijadikan nurseri haram.

"Walaupun bekalan air ke kawasan itu sudah dihentikan, namun warga asing dan pihak yang mendalangi kegiatan nurseri itu dipercayai membuat sambungan haram.

"Dulu, bil RM90,000 sebulan sudah dikira sangat tidak masuk akal, sekarang ia meningkat sehingga hampir RM110,000 lagi tidak logik. Ini kerana tiada pihak mampu kawal pencerobohan. Anggota penguat kuasa masuk kawasan ini setiap minggu tapi tiada apa berlaku," katanya.

Hasil tinjauan wartawan BH ke lokasi yang diarah untuk dikosongkan mendapati pencerobohan tanah berlaku secara berleluasa. Hampir setiap rumah yang ditampal notis pengosongan berwarna merah, mempunyai nurseri di hadapannya.

PEKERJA asing sedang menyiram semaian pokok di Pusat Kawalan Kusta Negara. - Foto Asyraf Hamzah
PEKERJA asing sedang menyiram semaian pokok di Pusat Kawalan Kusta Negara. - Foto Asyraf Hamzah

Selain itu, setiap rumah kosong itu juga dijadikan stor atau kediaman pekerja yang ditugaskan menjaga nurseri terbabit.

Situasi itu bagaikan menjawab persoalan punca bil air kawasan terbabit tinggi kerana ketika tinjauan, pekerja asing di situ kelihatan bebas menjalankan kerja menyiram rumput dan pokok hiasan menggunakan bekalan air bersih.

Difahamkan, kebanyakan nurseri itu dimiliki warga tempatan yang mengupah pekerja asing warga Indonesia dan menempatkan mereka di kediaman bekas pesakit di situ tanpa membayar apa-apa kepada PKKN.

"Memanglah menguntungkan pemilik nurseri haram di sini. Semuanya percuma. Rumah tak payah sewa. Air dan elektrik juga percuma. Tengok sendiri seluruh kawasan ini. Sana sini air digunakan untuk nurseri yang sangat luas. Tiada siapa yang boleh halang mereka," kata sumber itu lagi.

Sementara itu, setiap warga asing tanpa permit yang bekerja dengan nurseri haram atas tanah milik Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di sini, dikatakan membayar wang perlindungan RM50 sebulan, supaya tidak diganggu di kawasan itu.

SALAH seorang pekerja asing wanita yang bekerja di tapak semaian haram.
SALAH seorang pekerja asing wanita yang bekerja di tapak semaian haram.

Kutipan bayaran dibuat secara terancang oleh dalangnya yang kini menjadikan sebuah kedai di lokasi berdekatan pusat terbabit sebagai tempat bayaran berpusat yang wajib dikunjungi warga asing tanpa permit pada setiap 1 hari bulan.

Sebelum bayaran dibuat secara berpusat, pekerja nurseri haram di situ mendakwa ia diserahkan kepada anggota penguat kuasa tertentu yang meronda penempatan pesakit kusta terbabit terutama pada hujung bulan.

Pekerja nurseri dari Jawa Timur, Sastiawati (bukan nama sebenar), 62, mendakwa sebelum ini bayaran terbabit dibuat terus kepada penguat kuasa berpakaian seragam yang datang ke situ, namun sejak tahun lalu, bayaran diserahkan kepada seorang wakil di sebuah kedai runcit yang dijadikan pusat kutipan.

"Setiap bulan kena bayar RM50. Jika tak bayar, kami kena 'angkut'. Kalau sudah kena 'angkut', bayaran akan jadi lebih mahal. Ada rakan saya pernah terpaksa bayar sehingga RM2,000 untuk lepas.

"Untuk elak ditangkap, kami yang tiada permit perlu bayar. Setiap bulan, kira-kira 200 pekerja asing dari kawasan ini dan sekitarnya akan ke kedai runcit itu untuk bayar duit yang diminta," katanya.

WARGA asing tetap mendiami dan menjadikan rumah di PKKN sebagai kediaman dan stor walaupun sudah jelas notis pengosongan ditampal di pintu. - Foto NSTP
WARGA asing tetap mendiami dan menjadikan rumah di PKKN sebagai kediaman dan stor walaupun sudah jelas notis pengosongan ditampal di pintu. - Foto NSTP

Pekerja nurseri yang terletak dalam kawasan zon notis pengosongan PKKN, Herman (bukan nama sebenar), 35, turut mengakui semua rakan-rakannya yang tidak mempunyai permit perlu membayar RM50 sebulan kepada pihak tertentu.

"Saya tidak pasti siapa yang dapat bayaran itu tetapi perlu bayar RM50. Saya bernasib baik sebab ada permit. Saya bayar duit permit saja kepada tauke yang menguruskan semuanya," katanya.

Pekerja nurseri di zon sama, Hendra (bukan nama sebenar), 32, berkata majikannya menggunakan rumah yang haram diduduki di situ sebagai stor simpanan alat tanaman termasuk baja.

Katanya, kebanyakan rumah di situ dijadikan stor, selain ada yang diduduki tanpa perlu disewa kerana semua diuruskan majikan mereka.

"Saya pegang kunci rumah ini. Di sini kami letak barang saja dan sesekali saya berehat di sini. Saya tinggal di rumah kongsi di atas sana," katanya sambil membuka pintu rumah haram di situ.

Tinjauan wartawan BH mendapati banyak rumah ditampal notis pengosongan diduduki warga asing. Malah, ada juga warga tempatan tinggal di situ. .

Ada rumah yang ditampal notis pengosongan berwarna merah itu turut didiami keluarga apabila kelihatan kanak-kanak berpakaian sekolah bermain di hadapannya. Turut kelihatan beberapa alat elektrik digunakan dalam rumah itu yang sepatutnya sudah dipotong bekalan elektrik.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mendapati selain diceroboh warga asing, kawasan kediaman bekas pesakit kusta yang dikosongkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dikesan turut menjadi sarang penagih dadah.

Situasi itu dikesan polis menerusi 14 operasi bersepadu yang dijalankan terhadap kawasan terbabit sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin, berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani kejadian jenayah yang berlaku di pusat terbabit.

"Pemeriksaan, operasi cegah jenayah dan tangkapan sentiasa dibuat terutama membabitkan penagih dadah dan warga asing yang menceroboh serta menjadikan rumah kosong di situ sebagai tempat tinggal.

"Sepanjang tahun lalu, 48 orang ditahan di situ dengan 46 daripadanya adalah warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk pasport tamat tempoh dan salah guna permit serta kesalahan jenayah lain," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mohd Rozi berkata, menerusi 14 operasi bersepadu bersama dengan agensi penguatkuasaan lain, seramai 57 suspek turut ditahan kerana menagih dadah dan kesalahan narkotik lain.

KETUA Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin. - Foto Halim Salleh
KETUA Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin. - Foto Halim Salleh

"Awal tahun lalu, polis juga menahan seorang lelaki yang juga ketua satu kumpulan ala kongsi gelap yang mengaku sebagai 'penjaga' kawasan itu.

"Sejak suspek ditahan, tiada lagi unsur kongsi gelap berlaku di kawasan itu kecuali jenayah kecil seperti kecurian, perbuatan khianat selain masalah penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata, kawasan terbabit sewajar dibangunkan segera agar ia tidak terus menjadi pusat lambakan pendatang warga asing dan 'port' penagihan dadah, namun wujud beberapa kekangan antaranya isu pemilikan tanah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X