Rabu, 13 Januari 2016 | 12:45am

Imigresen Selangor serbu pendatang ceroboh penempatan kusta

ANTARA pendatang asing yang ditahan dalam operasi Imegresen Selangor malam tadi di Pusat Kawalan Kusata Negara (PPKN), Sungai Buloh kerana menceroboh penempatan bekas pesakit kusta.
ANTARA pendatang asing yang ditahan dalam operasi Imegresen Selangor malam tadi di Pusat Kawalan Kusata Negara (PPKN), Sungai Buloh kerana menceroboh penempatan bekas pesakit kusta.

SUNGAI BULOH: Jabatan Imigresen Selangor sebentar tadi melancarkan operasi menggempur pendatang asing yang mendiami perumahan bekas pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), di sini.

Serbuan bermula jam 12.30 pagi itu dibuat sekumpulan kira-kira 30 anggota Imigresen susulan pembongkaran oleh Berita Harian (BH) mengenai kegiatan warga asing menceroboh penempatan PKKN seperti dilaporkan akhbar ini sejak kelmarin.

Operasi diketuai Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa) Imigresen Selangor, Hishammuddin Badiyol Zuman, dan turut disertai pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebelum operasi bermula, sesi taklimat keselamatan dijalankan di Ibu Pejabat Imigresen Selangor di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Shah Alam.

Risikan ke lokasi serbuan juga dijalankan sekumpulan anggota Imigresen siang tadi, bagi mengenalpasti lokasi yang dijadikan tempat penginapan warga asing terutama pada waktu malam.

Berdasarkan risikan itu, sebahagian warga asing turut didapati menceroboh masuk ke penempatan PKKN bagi menjalankan kerja-kerja pertanian pada siang hari dan akan pulang ke kediaman mereka pada sebelah malam, yang terletak berhampiran kawasan hutan dan penempatan Orang Asli.

Serbuan pada awal pagi ini bukan yang pertama kali dilakukan agensi itu, kali terakhir dibuat pada pertengahan tahun lalu.

Hishammuddin ketika sesi taklimat berkata, serbuan ke kawasan itu juga akan dijalankan lagi selepas ini secara berfasa terutama bagi menjejaki pekerja asing yang tidak memiliki dokumen pekerjaan sah dinegara ini.

Kelmarin, BH melaporkan kawasan PKKN yang kini kosong berikutan kematian pesakit kusta sejak beberapa tahun lalu, mula diceroboh masuk warga asing terutama daripada Indonesia bagi menjalankan kerja-kerja pertanian termasuk menanam rumput dan pokok hiasan.

Mereka juga dipercayai menggunakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang tersedia di penempatan PKKN yang kini di bawah kawal selia Hospital Sungai Buloh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya semalam turut meminta kerjasama pihak berkuasa lain bagi memastikan penempatan bekas kusta itu tidak terus diceroboh, berikutan kesukaran pihaknya membuat pengawasan di kawasan terbabit yang memiliki keluasan 227 hektar.

Berita Harian X