Rabu, 13 Januari 2016 | 1:36pm

Nwakaeme pilihan terbaik - GanuCyber.Net


LAMAN facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Terengganu (GanuCyber.Net) menyifatkan Dickson Nwakaeme pilihan terbaik sebagai pemain import keempat skuad Penyu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presiden GanuCyber.Net, Mohd Ikhtiaruddin Hamid, berkata pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu sudah membuktikan kemampuan dengan menjadi penyerang yang digeruni ketika menyarung jersi Kelantan dan Pahang.

Katanya, pihaknya berasakan Nwakaeme tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad Penyu memandangkan corak skuad Penyu tidak banyak beza dengan pasukan yang diwakilinya sebelum ini.

"Kami sebagai penyokong menyambut baik jika Nwakaeme dipilih sebagai pemain import keempat dan yakin dia pilihan terbaik mengetuai jentera serangan Terengganu musim ini.

"Kalau mahu melihat pasukan berjaya, kerajaan negeri atau pihak pengurusan perlu melabur untuk mendapatkan pemain yang berkualiti. Malah kita yakin Terengganu tidak akan melakukan kesilapan jika memilih Nwakaeme," katanya.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum ini terpaksa menolak permintaan Nwakaeme buat kali kedua untuk menyarung jersi Skuad Penyu selepas meminta gaji terlalu tinggi.

Difahamkan, ejen penyerang berusia 29 tahun itu menuntut gaji lebih RM200,000 (AS$50,000) sebulan berbanding sebelum ini melebihi RM400,000 (AS$100,000) sebulan.

Mengulas lanjut, Mohd Ikhtiaruddin berkata, pihaknya berharap PBSNT memastikan pemain import yang dipilih bebas daripada sebarang kecederaan.

Katanya, pihaknya meminta PBSNT menjadikan kes Hassan Chaito, Javier Estipunan dan Paulo Rangel sebagai pengajaran berguna supaya tidak berulang musim ini.

"Malah, kami hairan kerana sepatutnya Terengganu sudah fokus mempersiapkan pasukan, tetapi sehingga kini masih tercari-cari pemain import tatkala saingan Liga Super semakin hampir untuk membuka tirai," katanya.

Berita Harian X