Rabu, 13 Januari 2016 | 5:11pm

Nonny reda tidak sempat tatap wajah bapa


PELAKON dan penyanyi, Nonny Nadirah.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah, 26, reda walaupun dirinya tidak sempat menatap wajah bapa tercinta buat kali terakhir apabila ayahnya, Zainuddin Abdullah, 55, meninggal hujung tahun lalu.

Diklasifikasikan sebagai mati mengejut oleh polis akibat lemas, lelaki itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap di Kampung Tanjung Aru Baru, Sabah, pada awal pagi 31 Disember.

Ketika dihubungi BH Online, Nonny yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelima itu juga menjelaskan, doktor turut mengesahkan arwah bapanya mempunyai komplikasi penyakit lain sebelum dirinya rebah di tempat kejadian.

Kali terakhir pelakon drama Istikharah Cinta itu bertemu bapanya pada Hari Raya Aidilfitri, tahun lalu. Bulan lalu, beliau berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja, namun hanya sempat mengirimkan wang kepada bapa menerusi kakak.

"Saya mendapat tahu mengenai kematian bapa sekitar jam 3 pagi pada 31 Disember lalu selepas mendapat panggilan daripada keluarga. Sebaik saja dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terus memandu pulang ke ibu kota dari Melaka. Saya berada di sana kerana melunaskan baki penggambaran drama Cinta Hati Abah.

"Bagaimanapun saya berdepan masalah untuk mendapatkan tiket kapal terbang. Hendak dibeli secara atas talian, ia gagal ditembusi, manakala kaunter tiket di KL Sentral pula belum dibuka. Saya terus berusaha untuk mendapatkannya secara dalam talian, namun kebanyakan tiket sudah disambar orang. Tambahan pula, ramai yang balik kampung ketika itu sempena cuti tahun baharu. Saya juga meminta bantuan kawan yang bekerja dengan agensi pelancongan.

"Malangnya, semuanya sudah penuh. Akhirnya saya diletakkan dalam senarai menunggu. Enggan menunggu lagi, saya terus ke lapangan terbang. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, saya ke KLIA 2. Hanya di KLIA 2 saya berjaya mendapatkan tiket untuk pulang ke Sabah, namun pada sebelah petang," cerita Nonny.

Menurut pelakon ini, beliau tidak berpeluang melihat jenazah arwah bapanya kerana majlis pengebumian diadakan pada waktu Maghrib.

"Dalam soal kematian, urusan pengebumian perlu dipercepat. Jadi, saya reda walaupun tidak dapat melihat wajah arwah buat kali terakhir. Saya cuma dapat melihat gambar bapa yang dihantar ahli keluarga.

"Dalam gambar itu, beliau dalam keadaan senyum. Saya memang agak ralat, tetapi apakan daya saya? Malah, hingga saat ini, kenangan bergambar satu keluarga pada Aidilfitri tahun lalu sangat mengusik hati dan perasaan.

"Kebetulan, ketika itu saya dan adik-beradik lain memakai baju sedondon berwarna hijau. Arwah bapa ketika itu turut memakai baju hampir sama warnanya, sedangkan kami tidak merancang pun untuk berbuat demikian," katanya.

Menurut Nonny, beliau akan pulang ke ibu kota dalam masa beberapa hari lagi bagi meneruskan kerja. Mujur ketika dirinya berdepan kesedihan, produksi Cinta Hati Abah memberikannya kelonggaran. Kebetulan, penggambaran drama itu juga sudah sampai ke penghujungnya.

"Cuma, hingga saat ini, dalam hati saya tertanya-tanya sendiri, apakah tawaran berlakon drama yang banyak membabitkan isu ayah bagaikan petanda di atas apa yang saya hadapi? Mungkin juga ia hanya kebetulan.

"Macam dalam drama Cinta Hati Abah, watak bapa saya juga ada mengalami kejadian lemas dan arwah ayah saya sendiri meninggal kerana insiden sama. Memang ia sangat mengesankan, apatah lagi bapa meninggal dunia secara mengejut," katanya.

Nonny di akhir bicara memohon sesiapa yang mengenali bapanya agar dapat memaafkan kesilapan arwah jika ada.

Berita Harian X