Khamis, 14 Januari 2016 | 12:05am

Kandungan al-Quran patut difahami

SOALAN : Bagaimana cara terbaik untuk saya khatam al-Quran sepanjang Ramadan. Saya serba salah, sama ada nak khatam al-Quran dua atau tiga kali atau khatam sekali berserta dengan tafsirannya.

Jawapan : Ada pelbagai cara untuk umat Islam khatam al-Quran sepanjang Ramadan. Antara kaedah terbaik ialah khatam al-Quran berserta terjemahan dan tafsir ayatnya. Inilah yang diamalkan sahabat Baginda Nabi SAW.

Hal ini dapat diperhatikan menerusi kata-kata seorang Tabiin bernama Abdul Rahman ibn al-Salami: "Kami mendengar orang terdahulu (sahabat) ketika mengambil wahyu daripada Baginda Nabi SAW hanya sepuluh ayat saja. Mereka tidak akan berpindah dari satu ayat kepada ayat lain hinggalah mereka membacanya dengan betul, memahami dan beramal dengan ayat itu. Selepas itu, barulah mereka akan mengambil sepuluh ayat yang lain." (Al-Huwayny ketika mensyarahkan hadis berkaitan ilmu dalam kitab sahih al-Bukhari)

Sehubungan itu, sangat baik jika umat Islam pada Ramadan yang mulia ini bertungkus-lumus untuk memahami kandungan al-Quran secara menyeluruh. Jangan hanya mengejar kuantiti khatam, tetapi kejarlah kualiti khatam yang sebenar seperti golongan terdahulu.

Hidayah milik Allah

Percayalah, hidayah Allah SWT akan dapat dirasai apabila ayat suci al-Quran dapat difahami oleh umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya). Ia juga menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa. Mereka itu ialah orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari harta yang Kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 2-3)

Berdasarkan kepada ayat itu, jelaslah hidayah Allah SWT perlu dicari dan ia tidak akan datang bergolek. Antara usaha mencari ilmu ialah memahami setiap kalam Allah SWT dengan mendalam. Oleh itu, jadikan Ramadan sebagai permulaan terbaik untuk mendalami maksud al-Quran sepanjang proses khatam.

Berita Harian X