Khamis, 14 Januari 2016 | 8:01am

Ada syarat jika Nwakaeme hendak sertai Terengganu


Dickson Nwakaeme.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya akan mengikat Dickson Nwakaeme jika penyerang itu bersetuju dengan tawaran gaji yang ditetapkan.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, berkata pihaknya masih memberi peluang kepada pemain kelahiran Lagos, Nigeria membuat keputusan muktamad selagi skuad Penyu tidak menandatangani awang import lain.

Katanya, pihaknya tetap dengan keputusan muktamad untuk tidak bersetuju permintaan gaji yang dituntut lebih RM200,000 (AS$50,000) sebulan.

"Setakat hari ini (semalam), kita masih belum menerima khabar berita dari ejen Nwakaeme sama ada bersetuju dengan tawaran gaji yang diberikan atau mahu mencari pasukan lain.

"Apa yang boleh saya katakan, pintu buat Nwakaeme untuk menyertai Terengganu belum tertutup jika bersetuju dengan bayaran gaji ditawarkan," katanya kepada BH Sukan, di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan PBSNT berunding untuk mendapatkan khidmat Nwakaeme yang terkenal dengan gelaran 'orang besi' untuk mengisi tempat Paulo Rangel, musim ini, tetapi belum menjadi kenyataan kerana permintaan gaji tinggi.

 

Arpin berkata, pihaknya juga tidak mahu terlalu mengharapkan Nwakaeme, sebaliknya sudah menghantar surat tawaran kepada tiga pemain dari Nigeria, Mali dan Afrika Selatan untuk menghadiri sesi pemilihan.

Katanya, tiga pemain itu adalah bekas pemain kebangsaan Nigeria, Edward Junior Ofere, Makan Dembele (Mali) dan Katlego Ambel Mphela (Afrika Selatan).

"Kita akan uji tiga pemain ini dalam perlawanan pra musim di Kuala Lumpur, minggu depan. 

"Jika mereka berjaya menambat hati ketua jurulatih, Ahmad Yusof dan penolongnya, Mike Mulvey, maka seorang daripada mereka akan mengisi kuota pemain import keempat Terengganu.

"Dengan status bekas pemain kebangsaan negara masing-masing, diharap mereka dapat menunjukkan kemampuan sebagai seorang penyerang berkualiti," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X