Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:43am

Tiga kemalangan, aliran trafik terkawal


TWITTER Plus pagi ini.

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya di seluruh negara sibuk pagi ini, dengan tiga kemalangan dilaporkan berlaku di Putrajaya, di sini dan Nilai, Negeri Sembilan.

PLUS Berhad menerusi Twitternya, @plustrafik melaporkan penutupan lorong kanan di Kilometer (KM) 22.5 arah selatan dari Putrajaya ke KLIA terhalang berikutan kemalangan pada jam 6.26 pagi.

Kemalangan dilaporkan turut berlaku di KM277 juga arah selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale menyebabkan lorong kiri dan tengah terhalang, namun keadaan lalu lintas dilaporkan terkawal.

Satu lagi kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.04 pagi di KM19 dari Putrajaya menuju Putra Height dan tidak membabitkan penutupan lorong.

Sementara itu, trafik dilaporkan perlahan sebelum dan selepas Tol Duta menuju pusat bandar serta Damansara ke Kayu Ara, sebelum dan selepas Tol Subang ke Glomac.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan, trafik mula bergerak perlahan di lebuh raya BESRAYA pada jam 7.54 pagi dari Balakong ke Seri Kembangan, Nirvana ke Pusat Bandar dan di susur keluar ke Jalan Istana.

Situasi sama turut dilaporkan di Lebuhraya LDP dari Puchong Perdana ke Puchong Intan, Jalan Majlis ke Taman Megah dan Sungai Penchala ke TTDI.

Di lebuh raya SPRINT, trafik perlahan dari NKVE ke Kayu Ara, Mont Kiara dan Semantan menuju Jalan Duta.

Di Pulau Pinang, trafik turut dilaporkan sibuk sepanjang jambatan menuju ke pulau dari Perai serta Seberang Jaya menuju Perai.

Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati memandu dan bersabar ketika terperangkap dalam kesesakan serta tidak mengambil tindakan yang boleh mengundang kecelakaan.

Mereka yang ada aduan berhubung sebarang masalah pengangkutan awam boleh menghubungi hotline Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di 1800 88 7723. 

Berita Harian X