Jumaat, 15 Januari 2016 | 11:27pm

Pastikan kesahihan berita sebelum disebar - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap umat Islam di negara ini tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya agar tidak menjurus kepada fitnah.

 

"Salam Jumaat semua. Dalam khutbah hari ini, khatib ingatkan pentingnya kesahihan berita sebelum disebarkan, agar tidak menjurus kepada fitnah," katanya menerusi kiriman terbaharu di Twitter beliau, malam ini.

 

Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebut Islam sentiasa menyeru umatnya ke arah agenda perpaduan termasuk menyampaikan berita yang benar.

 

Menyampaikan berita benar bukan sahaja menyentuh soal kredibiliti peribadi individu tetapi lebih penting, ia mencakupi soal keselamatan negara.  Justeru, perbuatan itu adalah akhlak dan sifat terpuji dalam Islam dan menjadi amanah yang wajib dijaga sebaik-baiknya oleh setiap umat Islam.

"Bahkan mereka yang mengamalkan sikap ini tergolong sebagai orang yang mempunyai keluhuran budi yang tinggi dan adab sangat baik dengan Allah SWT," katanya.

 

Khutbah bertajuk `Kebenaran Membawa Kemuliaan' turut menyebut kini terdapat satu trend dalam kalangan sebahagian masyarakat yang suka berkongsi apa sahaja cerita tanpa menyelidiki kesahihannya terlebih dulu.

 

"Ini menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan menyalahgunakannya lalu menyebarkannya kepada umum.

 

"Sikap ini nyata tidak menepati kehendak al-Quran apabila setiap khabar yang diterima baik melalui surat menyurat, lafaz mulut, SMS, e-mel yang disampaikan, tulisan yang diposkan di ruang siber dan bermacam lagi tidak diselidiki dan lebih parah disebar-sebarkan pula," mengikut teks khutbah itu.

Berita Harian X