Sabtu, 16 Januari 2016 | 7:58am

Chong Wei patut ketuai pasukan - Zulfadli

Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Zulfadli Zulkifli.

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan, Zulfadli Zulkifli menegaskan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei sepatutnya memimpin skuad negara dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad, India bermula 15 hingga 21 Februari depan.

Menurut bekas juara remaja dunia 2011 itu, dia tidak menjangka akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama selepas ketiadaan Chong Wei yang tidak disenaraikan pada kejohanan yang turut menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas, di Kunshan, China, Mei depan.

"Saya tidak jangka akan menjadi perseorangan pertama dalam pasukan kerana Chong Wei masih pemain terbaik negara, saya memang terkejut. Secara asasnya, saya hanya berharap untuk berada dalam pasukan untuk kejohanan di Hyderabad.

"Secara peribadi, saya berpendapat adalah lebih baik skuad kali ini turut dibarisi pemain senior, ditambah dengan pemain yang berpotensi demi kebaikan pasukan pada masa depan. Chong Wei sepatutnya berada dalam pasukan bagi menjadi mentor kepada seluruh ahli pasukan.

"Selain itu, jika Chong Wei beraksi, dia boleh menyumbangkan mata pertama yang pastinya akan menjadi pencetus semangat kepada pasukan. Chong Wei boleh beri tunjuk ajar kepada pemain muda untuk menjadi lebih baik demi masa depan pasukan andai dia bersara satu hari nanti," kata Zulfadli ketika dihubungi, semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, semalam memutuskan Chong Wei tidak disenaraikan bagi membolehkan dia fokus terhadap persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga tidak disenaraikan. Skuad kali ini dibarisi pemain muda yang semuanya kali pertama beraksi dalam acara berpasukan.

"Apa pun, kami sudah dipilih bagi mewakili negara dan kami perlu membuktikan sesuatu untuk menghasilkan keputusan positif buat Malaysia," kata Zulfadli.

Kejohanan di Hyderabad menawarkan empat slot ke pusingan akhir Piala Thomas dengan China dan Jepun layak secara automatik sebagai tuan rumah dan juara bertahan.

Malaysia akan bersaing dengan pasukan seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan India. Jika gagal, ia adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia tidak layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X