Sabtu, 16 Januari 2016 | 8:00am

Nahas di Pedas-Linggi, trafik sesak satu kilometer - PLUS


Laman Twitter @Plustrafik.

KUALA LUMPUR: Trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan sesak sepanjang satu kilometer pagi ini berikutan kemalangan di Pedas-Linggi, Negeri Sembilan.

Laman Twitter @Plustrafik melaporkan, kemalangan di Kilometer 218.5 pada jam 6.24 pagi tadi di laluan menghala Simpang Ampat, Melaka, menyebabkan lorong kiri dan tengah terhalang.

Setakat jam 7.36 pagi tadi, keadaan trafik di lokasi dilaporkan masih bergerak perlahan.

Trafik turut dilaporkan perlahan pada jam 7.39 pagi di Bangunan Sultan Iskandar dari arah Singapura menuju Malaysia.

Justeru, pemandu diminta mematuhi had laju serta memastikan jarak selamat kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Lembaga Lebuh raya (LLM) melaporkan, trafik terkawal di kedua-dua arah di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), termasuk sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong dan Kuala Terengganu.

Trafik turut dilaporkan lancar di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Sebarang aduan berhubung masalah pengangkutan awam boleh menghubungi hotline Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di 1800 88 7723.

Berita Harian X