Ahad, 17 Januari 2016 | 3:16pm

APMM rampas 350kg ikan


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot pukat tunda kelas B1 di atas kesalahan menceroboh kawasan zon perikanan yang menyalahi syarat lesen bot zon B1. Bot ditahan 6.6 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melakukan kesalahan tersebut. - Foto ihsan APMM

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 350 kilogram ikan dan menahan tekong serta dua awak-awak bot pukat tunda kerana melanggar syarat lesen perikanan, malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 2 Pulau Pinang, Kamaruszaman Abu Hassan, dalam satu kenyataan pagi tadi, berkata bot pukat tunda kelas B1 yang berpangkalan di Jeti Batu Maung itu ditahan jam 7 petang selepas dipercayai menceroboh zon yang dibenarkan di perairan Pulau Kendi.

"Mereka ditahan di kawasan 6.6 batu nautika dari barat Pulau Kendi dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung.

"Kami memandang berat kes ini kerana APMM kerap menerima aduan daripada nelayan kecil yang berasa tertindas dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun mengikut Akta Perikanan 1985," katanya.

Berita Harian X