Isnin, 18 Januari 2016 | 6:19pm

Kajian keselamatan LPT2 fasa kedua sedang berjalan

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof membuat lawatan ke tapak projek memperelok jalan di Bulatan Mansur ke Kuala Berang dari Padang Mengkuang ke Durian Guling, Kuala Berang, hari ini. - Foto Aswadi Alias
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof membuat lawatan ke tapak projek memperelok jalan di Bulatan Mansur ke Kuala Berang dari Padang Mengkuang ke Durian Guling, Kuala Berang, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA BERANG: Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) kini menjalankan kajian keselamatan jalan fasa kedua di Lebuhraya Pantai Timur ( LPT2) di Terengganu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata hasil kajian fasa pertama yang dijalankan IKRAM di LPT2 sebelum ini mendapati kurang lima peratus jalan di lebuh raya itu mempunyai masalah jalan beralun dan menakung air, yang didakwa segelintir pihak menjadi punca kemalangan.

Beliau berkata, 50 peratus daripada keseluruhan 182 kilometer LPT2 sudah selesai kajian dan jalan yang didapati bermasalah sudah diambil tindakan pembaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang keselamatan mereka sepanjang menggunakan LPT2 kerana dakwaan kemalangan berlaku akibat masalah jalan adalah tidak benar berikutan kebanyakan kemalangan yang dilaporkan di LPT2 tidak berlaku di laluan yang dikenal pasti bermasalah.

"Semua jalan raya di Malaysia, termasuk LPT2 dibina mengikut piawaian antarabangsa dan kualiti pembinaan yang tidak boleh dipertikai.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka untuk menggunakan LPT2. Sebab itu, kita tetapkan had laju tertentu di kawasan yang berisiko. Jika ia dipatuhi, kemalangan tidak akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek memperelok jalan di Bulatan Mansur ke Kuala Berang dari Padang Mengkuang ke Durian Guling, di sini, hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X