Selasa, 19 Januari 2016 | 7:03am

Pelajari pengalaman negara laksana hudud

ERA kebangkitan Islam moden bermula ketika negara Islam satu demi satu melepaskan diri daripada penjajahan Barat sekitar 1970-an dengan timbulnya semangat berkobar-kobar, terutama dalam kalangan generasi muda, untuk kembali kepada Islam secara menyeluruh hingga dikenali dengan zaman kebangkitan Islam atau Islamic Revivalism.

Dunia menyaksikan kebangkitan Islam menerusi revolusi Iran sekitar 1978/1979, kemenangan tentera Mesir ke atas Israel pada 1973 yang ditiupkan semangat dan roh Islam, dengan pekikan 'Allahuakbar'. Negara Islam khususnya negara Arab menunjukkan kesatuan ketika melancarkan oil embargo bagi menentang Barat dan ternyata amat berkesan sehingga menggerunkan Barat, sekali gus membuktikan negara Islam dapat mengunakan kekuatan ekonomi untuk tundukkan kuasa Barat.

Bagaimanapun, yang menimbulkan masalah dalam kebangkitan Islam ini ialah kekurangan ilmu pengetahuan masyarakat. Akibatnya penghayatan Islam sering disalah tafsirkan sebagai amalan fardu ain dan simbol lahiriah semata-mata atau menyentuh bidang ibadat khusus. Ketika negara melancarkan dasar penerapan nilai Islam dalam perkhidmatan awam umpamanya, ada yang mentafsirkan dasar itu dalam kelas tajwid dan fardu ain, qiamulail serta kuliah agama harus diadakan di surau pejabat tanpa membabitkan orang bukan Islam.

erluas skop program

Sungguhpun pelaksanaan ini penting sebagai asas penghayatan Islam, program itu harus dikembangkan lebih luas seperti soal disiplin, mengurus masa, etika kerja, saling menghormati serta penghayatan nilai Islam di tempat kerja, hubungan majikan dan pekerja serta seterusnya. Kita juga dengan susah payah membangunkan struktur dan sistem muamalat Islam yang komprehensif dalam institusi kewangan, perbankan, pelaburan, takaful dan program membabitkan aktiviti kewangan serta perekonomian orang Islam selaras dengan ajaran Islam.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa perundangan negara yang diwarisi daripada Inggeris, banyak mengalami pindaan dan perubahan, sesuai dengan perundangan Islam yang membabitkan perubahan peraturan dan kaedah perundangan serta peruntukan tertentu dalam Perlembagaan dan undang-undang.

Maka yang tinggal lagi dalam arena perundangan hari ini ialah penggubalan dan pelaksanaan hudud, iaitu sebahagian undang-undang jenayah syariah. Undang-undang syariah yang dilaksanakan di negara kita adalah undang-undang yang telah dikanunkan dan kes dibicarakan di mahkamah adalah yang dihukum berpandukan undang-undang itu. Undang-undang keluarga Islam yang digubal dan diwartakan selama ini, juga undang-undang lain, dilaksanakan dengan baik, sungguhpun ia harus dikaji dari semasa ke semasa. Hudud membabitkan kesalahan jenayah yang ditentukan oleh al-Quran dan hadis. Namun, hukuman tidak dijalankan sewenang-wenangnya seperti difahami orang awam.

Membersihkan diri

Menurut beberapa sumber rujukan, Saidina Umar pernah menggantung hukuman hudud sariqah (jenayah mencuri) pada zamannya ketika kebuluran. kerana jenayah ini sering dilakukan dalam keadaan terpaksa, iaitu kebuluran. Hudud juga sering berlaku dengan pengakuan penjenayah, bertujuan membersihkan dirinya di dunia ini seterusnya membawa ke hari akhirat. Orang yang sedang dihukum kerana melakukan kesalahan dalam kes hudud boleh dilepaskan sekiranya ia menukar pengakuan umpama orang yang sedang direjam, tiba-tiba menukar pengakuannya atau melarikan diri, maka ia tidak perlu dihukum lagi, mengikut pandangan sesetengah ulama.

Saya meminta fakta dan prosedur perundangan yang disebutkan dapat dikaji secara ilmiah dan terperinci untuk didedahkan kepada umat Islam dan bukan Islam.Masalah lain yang agak sukar dilaksanakan dalam hukum hudud ialah mendapatkan saksi dan keterangan terhadap tertuduh.

Kriteria saksi yang ketat, bilangan saksi dan dorongan melakukan jenayah menjadikan kes hudud sukar disabitkan dan ketika itu hukuman tidak lagi termasuk dalam kategori hudud, jadi hukuman takzir, iaitu mengikut budi bicara hakim dan mahkamah. Sudah agak lama kita menyedari beberapa negara Islam yang laksana hudud ini. Negara itu telah melalui beberapa proses tertentu dari segi perundangan dan tatacaranya serta penghakimannya dan tenaga hakim, kejayaan dan kegagalannya dalam proses pelaksanaan undang-undang itu.

Kenapa kita tidak berusaha mempelajari proses ini daripada negara Islam itu untuk mendapat pengalaman dan ambil ikhtibar kejayaan atau kegagalan mereka. Kita berada dalam satu perjalanan jauh dan sukar untuk laksanakan Islam secara syumul dan komprehensif.

Bagaimanapun, kejayaan yang kita capai harus jadi pendorong untuk kita bergerak seterusnya iaitu secara berilmu, berhikmah dan berwaspada. Satu langkah kita membuat kesilapan, mungkin akan merosakkan satu generasi umat kita.

Penulis ialah bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Berita Harian X