Selasa, 19 Januari 2016 | 1:09pm

2 beradik dipenjara, didenda sembunyi kelahiran

SEREMBAN: Dua beradik dipenjara 12 bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini sebentar tadi kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi, minggu lalu.

Muhammad Faez Mohd Fuzi, 24, dan adiknya, Mohamad Fazrul, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Seorang lagi tertuduh, Nurul Atikha Abu Zarin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Mahkamah membenarkan Nurul Atikha diikat jamin RM3,200 dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Februari ini.

Mereka didakwa sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang dilahirkan oleh Nurul Atikha dengan mengebumikan mayat bayi berkenaan secara sulit di Flet Taman Semarak, Nilai, pada jam 6 petang, 9 Januari lalu.

Tiga tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Mohd Pisol. Dua beradik berkenaan diwakili peguam, Iwana Sakinah Mohd Lajis, manakala Nurul Atikha diwakili peguam, Maanor Yusof.

67 dibaca
Berita Harian X