Selasa, 19 Januari 2016 | 5:30pm

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu dianjur semula


MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan diadakan semula pada 16 Oktober ini, selepas ditangguhkan pada tahun lalu akibat kejadian gempa bumi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata penganjuran semula acara itu diputuskan selepas mengambil kira keadaan di Gunung Kinabalu yang kini kembali pulih.

Katanya, jumlah peserta akan dipilih berdasarkan jemputan selain menggunakan laluan baharu ke puncak, sekali gus tiada laluan mencabar seperti perlumbaan sebelum ini.

"Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memutuskan untuk mengadakan climbathon dengan sedikit pengubahsuaian iaitu jumlah peserta dihadkan manakala siri cabaran ditiadakan kerana laluannya rosak akibat gempa bumi.

"Bagaimanapun, kita akan buat penilaian semula kaedah penganjuran mengikut kesesuaian semasa termasuk mengambil kira pembukaan laluan kedua ke puncak Gunung Kinabalu dikenali Jalan Kota Belud, dijangka pertengahan tahun ini," katanya selepas melancarkan pembukaan semula laluan pendakian Via Ferrata tertinggi di dunia oleh Mountain Torq, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Taman-Taman Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood; Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais dan Pengarah Mountain Torq Sdn Bhd, Wilfred Tok.

Masidi berkata, walaupun masih berlaku gegaran kecil akibat gempa bumi susulan, ia tidak menjejaskan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu.

"Kita berdepan persepsi orang ramai yang berpendapat pendakian tidak selamat kerana masih berlaku gegaran kecil, tetapi saya beri jaminan ia tidak menjejaskan keselamatan pendaki.

"Taman-Taman Sabah dan agensi berkaitan sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan pendaki," katanya sambil menambah jadual pendakian di Gunung Kinabalu bermula Mac depan sudah habis ditempah dengan kebanyakannya oleh pendaki luar negara.

Berita Harian X