Selasa, 19 Januari 2016 | 5:40pm

Dua pelajar kolej jual ganja ditahan

KETUA Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli (kiri) ketika sidang media mengenai beberapa kes samun, pecah rumah dan dadah di IPD Subang Jaya hari ini. Turut kelihatan Timbalannya Supt Lee Swee Meng (kanan).- Foto BERNAMA

SUBANG JAYA: Dua pelajar kolej swasta warga tempatan yang dipercayai aktif menjual ganja kepada penuntut kolej di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya ditahan bersama sebuah kereta mewah jenis Porsche, Jumaat lalu.

Pelajar berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan jam 9.55 malam di kawasan parkir, hadapan sebuah kedai makan, di Regalia Business Park, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata polis turut merampas satu ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,002 gram yang ditemui dalam beg sandang seorang daripada suspek itu.

"Susulan daripada itu, kita turut merampas 1,003 gram ganja yang dijumpai di kediaman salah seorang suspek di Bangsar Baru," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yahaya berkata, penahanan kedua-dua suspek itu susulan maklumat daripada dua lelaki iaitu pelajar kolej di Nilai berusia 23 tahun dan seorang penganggur berusia 20 tahun yang merupakan pelanggan kepada kedua-dua suspek, yang ditahan Rabu lalu.

Pelajar kolej di Nilai dan penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Persiaran Mulia di sini, kerana memiliki ganja seberat 1.2 gram.

Beliau berkata polis percaya kegiatan menjual ganja yang menyasarkan golongan pelajar itu baru dimulakan oleh suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kata Yahaya.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang pelajar kolej berusia 18 tahun ditahan berhampiran sebuah kolej di Bandar Sunway di sini, Khamis lepas kerana memiliki dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 210 gram.

"Ketika ditahan, pelajar itu sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sampul surat yang berisi ganja," katanya sambil menambah polis masih menyiasat dari mana pelajar berkenaan mendapat ganja berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Berita Harian X