Selasa, 19 Januari 2016 | 8:09pm

MDeC sasar lebih banyak syarikat ICT raih lebih RM100 juta setahun


KETUA Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyasar menghasilkan lebih banyak syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan memperoleh pendapatan tahunan melebihi RM100 juta menerusi program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood, berkata ketika ini, hanya 24 syarikat ICT tempatan dikenal pasti memperoleh pendapatan purata tahunan melebihi RM100 juta, manakala sebahagian besar atau kira-kira 90 peratus masih dikategorikan syarikat permulaan dengan pendapatan purata tahunan kira-kira RM1.4 juta.

Beliau berkata, GAIN yang diperkenalkan tahun lalu bertujuan meningkatkan kadar pertumbuhan dan pendapatan syarikat melalui inovasi bagi membolehkannya meneroka pasaran lebih meluas dan berdaya saing di peringkat global.

"Malaysia memiliki banyak syarikat ICT berstatus syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berpotensi, namun majoritinya masih mencatat pendapatan kurang daripada RM1 juta setahun," katanya dalam taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.

Di bawah GAIN, MDeC mengatur beberapa program bagi membantu pertumbuhan syarikat ICT tempatan, antaranya menganjurkan lawatan bersama 21 syarikat ke Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) dan memeterai perjanjian dengan Pusat Penyelidikan Palo Alto (PARC) bagi membuka ruang kepada syarikat ICT tempatan menjalin kerjasama dengan pusat terbabit.

MDeC juga membuka cawangan di Lembah Silikon bagi membantu memudahkan syarikat ICT tempatan berurusan dan menjalin hubungan kerjasama dengan syarikat ICT antarabangsa yang beroperasi di sana.

Yasmin berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 2,600 syarikat ICT tempatan memperoleh status MSC dan MDeC membahagikan empat strategi untuk membantu syarikat terbabit mengembangkan pasaran iaitu akses pasaran, pembangunan keupayaan, risiko modal dan pembangunan teknologi serta perniagaan.

Beliau berkata, lawatan ke Lembah Silikon serta kerjasama strategik dengan PARC boleh membantu syarikat berstatus MSC mengembangkan sayap ke peringkat global dengan lebih baik kerana mereka dapat mempelajari serta berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan syarikat ICT antarabangsa di pusat ICT terkenal di dunia itu.

"Kerjasama dengan PARC akan menawarkan syarikat MSC Malaysia peluang meneroka ke bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama pusat berkenaan, mempelajari mengenai paten dan model pelesenan harta intelek (IP) serta peluang bekerjasama dengan pegawai dan saintis penyelidikan PARC," katanya.

Berita Harian X