Khamis, 21 Januari 2016 | 12:04am

Harus kenduri arwah

MESTI perbetul niat tujuan datang rumah si mati untuk ucap takziah.

Soalan: Saya dengar daripada pelbagai pihak mengenai hukum kenduri arwah. Saya jadi pening kerana setiap mereka menyampaikan hukum yang berbeza. Bolehkah ustaz jelaskan hukum kenduri arwah berasaskan pandangan empat mazhab.

Jawapan: Sebenarnya, amalan yang saudara nyatakan itu hanya masyhur dalam kalangan umat Islam di negara ini tetapi tidak di negara lain. Pada masa sama, penentuan hukum mengadakan kenduri arwah menjadi khilaf dalam kalangan fuqaha.

Menurut Mazhab Hanafi, makruh mengharapkan hidangan daripada keluarga si mati kerana hidangan hanya sesuai disajikan dalam masa bahagia bukan dalam masa musibah.

Perkara ini berdasarkan kepada kenyataan Jarir bin Abdullah: "Kami berpendapat bahawa perbuatan sebahagian manusia berhimpun di rumah keluarga si mati bagi mengharapkan makanan selepas pengebumiannya adalah sebahagian daripada ratapan kematian." (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih)

Mazhab Maliki pula, mengadakan kenduri arwah untuk si mati adalah makruh, manakala hukum berkumpul dalam rumah keluarga si mati bagi tujuan mendapatkan makanan percuma yang disediakan oleh tuan rumah adalah bidaah.

Ini kerana niat mereka yang datang itu salah dan membebankan keluarga si mati yang sememangnya sudah terbeban dengan kematian salah seorang ahli keluarga mereka. Jika kita perhatikan sunah Nabi SAW, menyediakan makanan adalah tanggungjawab jiran tetangga, sahabat handai dan bukannya ahli keluarga.

Ulama Mazhab Syafie, Imam al-Syarbiny dan Imam al-Nawawi, adat menghidangkan makanan oleh keluarga si mati dan mengajak orang ramai berkumpul untuk kenduri tertentu adalah bidaah yang tidak disunahkan kerana membebankan keluarga si mati selain tiada dalil daripada al-Quran dan sunah terhadap perbuatan itu.

Amalan golongan jahiliah

Menurut Ibn al-Qudamah (Mazhab Hambali), adat menghidangkan makanan untuk pengunjung oleh keluarga si mati adalah makruh. Perbuatan itu akan menambahkan lagi musibah kepada keluarga si mati dan penambah beban, sekali gus perbuatan ini menyerupai amalan golongan jahiliah.

Diriwayatkan, Jarir mengunjungi Umar, kemudian Umar berkata: "Apakah kalian suka berkumpul bersama keluarga si mati yang kemudian menghidangkan makanan? Jawab Jarir: Ya. Berkata Umar: Hal itu termasuk dalam meratapi si mati yang terlarang."

Ikut kerelaan keluarga

Berdasarkan kepada perbincangan keempat-empat mazhab itu, dapatlah disimpulkan bahawa hukum melakukan kenduri arwah adalah harus jika ia dilakukan dengan kerelaan dan keikhlasan ahli keluarga kepada yang berkunjung.

Kos hidangan diambil sepenuhnya daripada duit peribadi anak dan sahabat handai yang telah menderma untuk tujuan itu. Semoga amalan itu termasuk dalam kategori doa anak soleh dan sekali gus diterima Allah SWT.

Pengunjung mestilah memperbetulkan niat bahawa tujuan mereka datang ke rumah si mati adalah untuk mengucapkan takziah bukannya untuk menjamu selera secara percuma. Tidak menganggap perbuatan itu sebagai sunah Nabi SAW.

Makruh berbuat demikian jika ia dilakukan bagi tujuan memenuhi kehendak adat setempat. Pada masa sama, ahli keluarga tidak langsung terbeban dengan kenduri arwah itu.

Haram melakukan kenduri arwah jika ahli keluarga dipaksa untuk berbuat demikian. Ahli keluarga pula terpaksa menjayakan kenduri itu tanpa kerelaan dan keikhlasan mereka. Lebih teruk lagi apabila kos jamuan diambil sepenuhnya daripada duit pusaka yang belum diagih agihkan kepada mereka yang berhak.

Berita Harian X