Jumaat, 22 Januari 2016 | 11:51pm

Polis tembak, tahan ahli geng mamak


ANGGOTA polis forensik memeriksa kereta yang dicuri anggota geng Mamak. - Foto Muhaizan Yahya

TAIPING: Seorang anggota geng Mamak ditembak mati, manakala dua lagi diberkas di kawasan Plaza Tol Changkat Jering, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek lelaki berusia 38 tahun dan mempunyai tiga rekod jenayah dadah dan rogol, mati di tempat kejadian selepas ditembak di rusuk kiri.

Dua lagi anggota kumpulan itu, lelaki berusia 31 tahun dan 35 tahun serta mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan mencuri kenderaan, ditahan di tempat kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh, berkata sebelum itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta Volkswagen Passat dan sebuah lagi BMW 5 Siri melakukan samun terhadap mangsa yang mengeluarkan wang dari sebuah bank di Rasah, Negeri Sembilan, kira-kira jam 11 pagi.

"Berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggota Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Taiping mengesan kereta suspek di Plaza Tol Changkat Jering.

"Polis kemudian melakukan kepungan dan mengarahkan kereta Volkswagen Passat berhenti, namun kenderaan itu terus merempuh kereta polis bertalu-talu sehingga membahayakan nyawa anggota menyebabkan tembakan dilepaskan ke arah pemandu kereta itu.

"Pada masa sama, kereta BMW tiba dan cuba merempuh kereta polis yang membuat halangan sebelum berjaya melarikan diri," katanya pada sidang media, di sini, malam ini.

Osman berkata, ketiga-tiga suspek berasal dari Taiping dan polis menemui dua parang, dua topi besbol masing-masing logo polis dan kastam, satu walkie-talkie dan wang tunai RM2,400 di dalam kereta Volkswagen Passat itu.

Katanya, kereta BMW pula ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 237.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar.

Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol separuh automatik dan beberapa peluru, empat parang, satu gari, dua vest polis dan topeng di dalam kenderaan itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati kereta Volkswagen Passat itu dicuri di Bukit Raja, Klang, manakala kereta BMW dicuri di Ulu Bernam, kedua-duanya pada tahun lalu.

Osman berkata, siasatan awal mempercayai kumpulan berkenaan terbabit dalam sekurang-kurangnya 25 kes curi kenderaan mewah membabitkan nilai RM2.4 juta sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Kita tidak pasti berapa ramai suspek yang berada dalam BMW dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan " katanya.

Berita Harian X