Sabtu, 23 Januari 2016 | 10:33am

Rumah pusaka sebelum merdeka musnah terbakar


KEBAKARAN sebuah rumah pusaka di Kampung Limbongan di Melaka, malam tadi.

MELAKA: Sebuah rumah pusaka berusia 68 tahun hangus dalam kebakaran di Kampung Limbongan di sini, malam tadi.

Kebakaran kira-kira jam 8 malam itu memusnahkan 90 peratus rumah berkenaan di bahagian dapur, bilik dan ruang tamu.

Ketika kejadian, Syed Mohammad Hood, 68, yang menguruskan rumah tinggalan arwah bapa saudaranya yang dibina pada tahun 1948, berada di masjid berhampiran.

"Ketika sedang mengaji bersama jemaah lain selepas solat Maghrib di masjid, saya terdengar suara budak menjerit rumah terbakar.

"Saya nampak rumah yang saya uruskan lebih 10 tahun terbakar dan tiada lain yang saya fikirkan kecuali pakaian dan motosikal kerana itu sahaja yang sempat diselamatkan," katanya.

Berikutan insiden itu, Syed Mohammad kini tinggal bersama keluarga adik perempuannya di Batu Berendam.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Khairudin Atan, berkata seramai 25 anggota bomba dan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan Tangga Batu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 8.09 malam.

"Ketika sampai di lokasi enam minit kemudian, api sudah marak. Kami berjaya mengawal api sepenuhnya kira-kira 40 minit kemudian," katanya.

Berita Harian X