Sabtu, 23 Januari 2016 | 3:20pm
ANGGOTA polis forensik memeriksa kereta yang dicuri anggota geng Mamak. - Foto Muhaizan Yahya

Dua anggota Geng Mamak direman lima hari

TAIPING: Polis hari ini mendapatkan perintah tahanan reman lima hari ke atas dua anggota Geng Mamak yang ditahan di kawasan Plaza Tol Changkat Jering di sini, semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Noorhidayah Mohd Saad, bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan mencuri kenderaan.

"Mereka adalah anggota kumpulan samun Geng Mamak yang melakukan pelbagai jenayah terancang seperti samun, pecah dan curi kenderaan mewah membabitkan kerugian RM2.4 juta sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, seorang anggota Geng Mamak ditembak mati, manakala dua lagi ditahan di kawasan Plaza Tol Changkat Jering.

Lelaki berusia 38 tahun yang mati ditembak, mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan rogol.

Berita Harian X