Sabtu, 23 Januari 2016 | 3:26pm

Jalan beralun bukan punca kemalangan di LPT2

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof- Foto Jeakqleyn Yacho
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof- Foto Jeakqleyn Yacho

KUALA LUMPUR: Kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bukan berpunca daripada keadaan permukaan jalan yang beralun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sebaliknya kemalangan maut berlaku di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

Katanya, penemuan itu diperoleh daripada padanan statistik kemalangan maut dengan nilai Indeks Kerataan Jalan Antarabangsa (IRI) hasil ujian profil yang dijalankan ke atas permukaan jalan di lebuh raya berkenaan.

"Berdasarkan keputusan ujian IRI yang dijalankan pada 8 Januari 2016, didapati nilai IRI bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184 kilometer (km) adalah mematuhi tahap nilai ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

"Kementerian juga telah memadankan rekod statistik kemalangan maut dengan nilai IRI dan mendapati lokasi kemalangan maut tidak berlaku di lokasi beralun tetapi di jajaran lurus dan mempunyai permukaan jalan yang baik.

"Justeru, jalan beralun bukan punca kemalangan di LPT2 seperti ditemui daripada ujian IRI itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadillah berkata, kementerian menjalankan dua peringkat ujian IRI di LPT2, iaitu pada 28 Oktober lalu bagi jajaran lebuh raya sepanjang 60km, dan pada 5 hingga 8 Januari lalu bagi keseluruhan jajaran LPT2 sepanjang 184km.

Ujian IRI dijalankan oleh Ikram Paves Sdn Bhd menggunakan Pengimbas Jalan yang mengimbas permukaan jalan dan menyemak jalan menggunakan laser, dan data diperoleh dianalisis untuk digunakan dalam kerja penyelenggaraan.

"Ia adalah tambahan kepada pemeriksaan rutin yang dibuat ke atas LPT2," katanya.

Fadillah berkata, walaupun jalan beralun bukan punca kemalangan di lebuh raya berkenaan, permukaan jalan di lokasi terbabit akan terus dibaik pulih dengan menggunakan kaedah kawalan dan menurap semula jalan serta penggunaan bahan khas.

"Ujian IRI akan diteruskan secara berkala supaya kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan sempurna dan strategik mengikut standard dan spesifikasi ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan bagi pengguna LPT2," katanya.

Beliau berharap pengguna jalan raya dapat memanfaatkan kemudahan jajaran LPT2 secara berhemah dengan mematuhi had laju ditetapkan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X