Rabu, 15 Oktober 2014 | 2:23pm

GST bukan alasan tidak turunkan harga kereta - Ahmad Maslan

TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pemain industri automotif di negara ini tiada alasan untuk tidak menurunkan harga kereta apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.

Pelaksanaan GST berkadar enam peratus bermula 1 April itu bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

"Penurunan harga berdasarkan konsep 10 peratus (cukai jualan yang termasuk dalam harga kereta) menjadi enam peratus amatlah mudah difahami, dan pemain industri tidak sewajarnya mengelak daripada menurunkan harga kereta dengan menjadikan GST sebagai alasan," katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas mengenai pelaksanaan sistem percukaian yang dikenakan di setiap peringkat pengeluaran produk itu, beliau menegaskan cukai input GST boleh dituntut semula berbanding SST yang diguna pakai sekarang.

"Kerajaan sudah merangka dasar iaitu harga barangan yang sepatutnya diturunkan harus diturunkan," katanya.

Selain itu katanya, penurunan harga kenderaan dijangka antara satu hingga tiga peratus itu turut disahkan oleh pegawai Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Memang kita jangkakan penurunan harga kereta, tetapi kadar penurunan itu masih belum dapat dipastikan," katanya.

Ahmad turut menyatakan 532 daripada 944 barangan yang dikecualikan daripada GST akan mengalami penurunan harga berdasarkan kepada pengiraan sistem percukaian berlapis SST.

"Pelaksanaan SST menyebabkan harga barang bertambah secara purata menjadi 15 ke ke 18 peratus daripada 10 peratus yang dikenakan pada asalnya.

"Bagi kumpulan makanan diproses yang dikenakan cukai sebanyak lima peratus, ia akan menjadi sekitar lapan peratus," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan senarai lebih daripada 900 barangan yang dikecualikan daripada pelaksanaan CBP. - BERNAMA

Berita Harian X