Ahad, 24 Januari 2016 | 12:04am
KILANG Bateri pada waktu malam.
TEMPAT permainan kanak-kanak di Kilang Bateri, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PELBAGAI gerai makanan dan minuman dengan menu tersendiri yang pasti menarik orang ramai untuk mencuba. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Lepak, santai dan makan-makan di Kilang Bateri

KAFE hipster antara tarikan ramai di Kilang Bateri, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

RAMAI akan menyangka apabila menyebut Kilang Bateri, tanggapan pertama ialah ia sebuah kilang mengeluarkan bateri sama ada untuk kenderaan atau kegunaan gajet.

Tempatnya mesti agak berbahaya dan sensitif kerana menyimpan serta menggunakan pelbagai bahan kimia.

Namun, kewujudan Kilang Bateri di Jalan Tampoi, Johor Bahru (JB) memang jauh menyimpang daripada tanggapan awal.

Jika dulu kilang bateri ini cukup sinonim penghasilan bateri jenama Eveready, kini ia berubah wajah menjadi tempat lepak, santai dan menjamu selera popular.

Selepas tidak beroperasi, setiap sudut kilang ini diubah suai bertemakan klasik atau vintage dengan hampir segala-galanya berada dalam satu 'gudang'.

Bangunan seperti gudang atau kilang di tapak seluas 4.9 hektar itu, kini menyediakan 184 gerai makanan dan minuman, pakaian, pusat kecantikan dan kedai buku.

Ia kini menjadi antara destinasi di Johor Bahru yang sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.

Kilang Bateri yang dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, turut menyediakan ruang khas bagi penganjuran pelbagai acara seperti mini konsert dan persembahan seni jalanan (buskers) dalam usaha menarik minat anak muda untuk menzahirkan bakat dan perasaan menerusi bidang seni ini.

Mula beroperasi sejak 7 Julai lalu, Kilang Bateri mendapat sambutan menggalakkan apabila tidak putus dikunjungi orang ramai, terutama anak muda bukan sahaja dari sekitar Johor tetapi juga Kuala Lumpur dan Singapura.

ANTARA gerai yang beroperasi di Kilang Bateri, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KILANG Bateri sesuai untuk santai seisi keluarga. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Mempunyai ramai pengikut

Penubuhan Kilang Bateri atas nama For Eveready Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang digabung menerusi kerjasama syarikat yang mengeluarkan nama JOHO, selain syarikat Skala Reka dan Fun Entertainment Sdn Bhd yang membantu daripada segi olahan susunan dan reka bentuk, selain kemampuan menganjurkan acara bagi menghidupkan semula tapak atau gudang yang terbiar lebih 10 tahun.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti 500 tempat letak kereta, surau, kedai gunting rambut, dewan serba guna dan pentas khas bagi mereka yang mahu membuat persembahan.

Selain itu, kafe hipster yang menjadi antara lokasi yang digilai ramai kerana menyediakan kelainan dari segi dekorasi serta menawarkan pelbagai menu pada harga amat berpatutan.

Populariti Kilang Bateri terbukti apabila ia mempunyai 180,000 pengikut Instagram dan laman sosial Facebook.

Bagi yang pertama kali memasuki Kilang Bateri, pasti berasa kagum dengan susun atur dan hiasan dalaman yang menarik dan memang berbeza daripada pusat beli belah.

Bahkan, nama tempat ini juga memang tidak ada kaitan langsung dengan apa yang ada di sini.

Aneka barangan

Di sebelah kanan pintu masuk kilang, menempatkan pelbagai gerai makanan dan minuman dengan menu tersendiri yang pasti menarik orang ramai untuk mencubanya.

Di sebelah kiri pula terdapat deretan gerai kecil yang menjual pelbagai aksesori dan pakaian, barangan kecantikan dan ruang khas untuk aktiviti kanak-kanak.

Setiap peniaga di sini, diberi kelonggaran untuk mengubah suai premis mengikut kreativiti masing-masing bagi menarik perhatian orang ramai.

Setiap premis dikatakan mempunyai pengikut tersendiri, malahan ada yang mempunyai 6,000 pengikut FB dan Instagram.

PENIAGA, Mohd Firdaus Ibrahim menjual buku. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

TEMPAT permainan kanak-kanak yang ada di Kilang Bateri, Tampoi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Tumpuan orang muda, belia

Bagi peniaga, Muhamad Hambali, 23, langkah mengembangkan perniagaan di Kilang Bateri dianggap sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan pendapatan dengan memperkenalkan pakaian jalanan (street wear) dengan menggunakan nama Syarikat Buntil yang diasaskan oleh bapa saudaranya.

Kilang Bateri menjadi lokasi strategik bagi mengumpul dan mempromosikan produk tempatan termasuk koleksi pakaian vintage.

Sementara itu, pelajar di sebuah kolej swasta, Siti Aisha Abdul Latiff, 20 beranggapan makanan dan minuman yang ditawarkan di Kilang Bateri sangat menepati cita rasanya.

"Sudah lima kali saya ke sini. Tempat ini menarik kerana berkonsepkan moden dan unik, mengikut trend semasa.

"Saya selalunya mencadangkan kepada kawan-kawan dari luar Johor atau baru sampai di JB untuk datang bersantai di Kilang Bateri," katanya.

Bagi Noor Fatin Ramziah Ramlee, 20, kebiasaannya suasana malam di Kilang Bateri lebih meriah kerana bukan sahaja mudah mencari makan pada lewat malam, malahan ia menjadi tumpuan bagi remaja dan belia berkumpul.

Kedai pakaian Muslimah dan tudung menjadi antara persinggahan kerana kebanyakan barangan yang ditawarkan memenuhi cita rasa orang muda dan mengikut trend terkini.

BAGI yang pertama kali memasuki Kilang Bateri, pasti berasa kagum dengan susun atur dan hiasan dalaman yang menarik. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Tempat selamat, tepati aliran terkini

Pengarah Pembangunan Strategik Bateri, Johan Arifin Mohd Ropi berkata, kos keseluruhan pengubahsuai kira-kira RM1.2 juta dan Kilang Bateri menggunakan konsep aliran terkini iaitu pemilihan dari segi penempatan dan reka bentuk yang akan membezakan tempat ini dari pusat membeli belah lain.

Idea projek itu, timbul hasil tinjauan bazar di luar negara seperti Pasar Victoria di Melbourne, Australia, selain Chatuchak, Thailand yang mengangkat jenama tempatan secara global.

"Sejak mula dibuka kira-kira enam bulan lalu, kami menerima sambutan menggalakkan dari pengunjung sehingga pernah mencecah 2,000 orang sehari. Kebanyakannya memang orang muda, berumur antara 16 tahun hingga 40 tahun.

"Kebiasaannya waktu malam lebih meriah. Pada mulanya kilang ini hanya dikunjungi oleh penduduk bandaraya Johor Bahru sebelum mula berkembang sedikit demi sedikit hingga menjadi tarikan pelancong. Hari ini ini, pengunjungnya bukan sahaja dari Johor tetapi merata-rata dari Kuala Lumpur hingga Singapura," katanya.

Johan Ariffin berkata, memang ada pihak mempertikaikan aspek keselamatan kerana ia adalah bekas kilang membuat bateri yang membabitkan penggunaan banyak bahan kimia.

"Sebelum ia dibuka kepada orang ramai, dua ujian makmal dilakukan ke atas kilang ini.

Daripada kajian itu, kawasan tapak kilang ini selamat dan tidak mempunyai sebarang unsur kimia berbahaya," katanya.

Berita Harian X