Isnin, 25 Januari 2016 | 12:02am

Penterjemahan masih perlahan


PENTERJEMAH buku sastera hebat Indonesia termasuk karya Pramoedya Ananta Toer, John H McGlynn

PERANAN aspek penterjemahan sebagai 'jambatan' yang menghubungkan karya sastera tempatan ke persada antarabangsa dan titik pertemuan antara masyarakat berlainan bahasa, budaya serta nilai hidup, masih dipandang enteng di Asia Tenggara.

Keluhan itu disuarakan sendiri penterjemah buku sastera hebat Indonesia termasuk karya Pramoedya Ananta Toer, John H McGlynn pada siri Borak Buku 2016 di Kafe Mirama, Wisma Mirama, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sekali gus mengakui Asia Tenggara masih jauh ketinggalan dalam konteks penterjemahan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Lontar berkata, senario di Indonesia terhadap terjemahan juga agak mengecewakan terutama kekurangan penyaluran dana yang konsisten daripada kerajaan.

"Jika di Malaysia, saya lihat perkembangannya agak baik dengan adanya badan seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang fokus kepada penerbitan karya terjemahan dan turut menerima dukungan yang baik daripada kerajaan.

"Bagaimanapun, di Indonesia masih belum ada institusi di bawah kerajaan yang memfokuskan kerja penterjemahan sehingga saya dan beberapa rakan penulis menubuhkan Yayasan Lontar pada 28 Oktober 1987 menggunakan dana yang dikumpul sendiri.

"Ketika awal penubuhan hampir 30 tahun lalu, Yayasan Lontar hanya mampu menterjemah satu naskhah dalam jangka masa setahun kerana kekangan kewangan, manakala penerbit komersial tidak memberikan perhatian pada buku terjemahan kerana dikatakan tidak ada nilai dalam pasaran," katanya pada acara anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama ITBM.


PRAMOEDYA dianggap pengarang paling hebat pada zamannya.

Frankfurt buka mata kerajaan

Beliau berkata, sehingga kini Yayasan Lontar hanya mampu menerbitkan sebanyak 200 buku terjemahan ke bahasa Inggeris dengan 90 peratus daripadanya ialah karya sastera.

Beliau berkata, perhatian kerajaan Indonesia terhadap kepentingan penterjemahan hanya dilihat beberapa tahun kebelakangan ini khususnya apabila negara itu dipilih sebagai Negara Tamu Kehormat Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 yang lalu.

"Yayasan Lontar ditubuhkan bukan untuk menjadi penerbit, malangnya tidak ada syarikat penerbitan yang mahu mengeluarkan wang untuk menerbitkan karya terjemahan sehingga kami terpaksa melakukannya sendiri.

"Bagaimanapun, penyertaan dalam Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 mula membuka mata kerajaan yang menyediakan dana terjemahan dan kami amat berharap ia tidak hanya berhenti setakat ini saja dan diteruskan secara konsisten.

17 karya tarik perhatian Jerman

"Daripada 200 judul yang dibawa ke Frankfurt, 17 daripadanya mendapat perhatian penerbit Jerman untuk diterjemahkan tetapi tidak semua karya berkenaan adalah genre sastera.

"Karya sastera hanya membabitkan beberapa judul seperti novel Pulang oleh Leila S Chudori yang akan diterjemah ke bahasa Inggeris, Itali, Jerman, Perancis dan Belanda dengan kos penerbitan ditanggung secara bersama oleh penerbit asal serta Jerman," katanya pada acara yang dikendalikan oleh penulis muda, Rebecca Ilham.

McGlynn turut mencadangkan langkah proaktif dengan melantik ejen untuk membina lebih banyak ruang penterjemahan karya sastera tempatan ke peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan oleh industri penerbitan di Barat.

"Peranan ejen buku amat besar sehingga wajar kita melantik mereka atau mewujudkan sekumpulan sumber manusia yang diasuh oleh ejen yang berpengetahuan luas dalam bidang sastera dan boleh berbahasa Inggeris dengan fasih untuk mewakili negara mempromosikan karya ke persada antarabangsa.

"Selain itu, pemain industri buku juga perlu menggunakan platform digital yang sudah tersedia terutama menjual buku secara dalam talian sehingga sastera Malaysia dapat dibaca ke seluruh dunia tanpa membabitkan pelbagai kos lain terutama cetakan dan edaran," katanya.

Guna nama samaran penterjemah

Mengulas pula mengenai kepengarangan Pramoedya, McGlyynn yang banyak menterjemahkan karya sasterawan Indonesia itu melihat pengalaman paling berharga didapati ketika menangani naskhah Nyanyi Seorang Bisu 1 dan 2 atau versi bahasa Inggerisnya, The Mute's Soliloquy.

"Pada pandangan saya, tidak ada penulis yang mengarang sehebatnya pada zaman Pramoedya dan pengalaman menterjemah The Mute's Soliloquy paling diingati apatah lagi memberikan cabaran hebat terutama untuk menyusun semula catatan Pram.

"Saya juga mengambil keputusan untuk menggunakan nama pena bagi buku terjemahan karya Pramoedya, iaitu Willem Samuels kerana sedar ramai yang tidak menyukainya kerana dianggap berhaluan kiri, sekali gus dibimbangi memberikan tanggapan negatif kepada Yayasan Lontar," katanya.

Berita Harian X